Perdana Menteri beri kata semangat, Belaban Hidup: Infeksi Zombie raih kejayaan berganda di Russia
2 min read
Ia suatu yang sangat bermakna buat penggiat seni apabila menang anugerah di peringkat antarabangsa.
Paling bermakna apabila kejayaan itu dikongsi Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyampaikan ucapan tahniah pada pengarah filem tempatan, Ray Lee bersama isterinya, Misha Minut atas kejayaan filem mereka, Belaban Hidup: Infeksi Zombie.
Menerusi status pemimpin negara itu di Facebook akaunnya, beliau turut berkongsi kegembiraan dengan pencapaian filem tersebut yang menang kategori Seram dan Sains Fiksyen bagi genre filem cereka di World Film Carnival (WFC) Singapore 2021.
“Kemenangan ini meneruskan kesinambungan kejayaan filem-filem atau terbitan kreatif pemain industri tempatan di peringkat antarabangsa sebelum ini, sekaligus membuktikan negara tidak ketandusan bakat dan penghasil karya hasil seni yang berkualiti antarabangsa.
“Saya yakin filem yang menggabungkan elemen seram dan aksi yang mengetengahkan kisah pahlawan Dayak Sarawak ini secara tidak langsung mampu mempromosi Malaysia, khususnya kepelbagaian etnik, budaya dan bahasa di Sarawak kepada dunia.
“Tahniah kepada pengarah filem, saudara Ray Lee, penerbit kelahiran Sarawak, saudari Misha Minut, semua pihak yang terlibat dalam penerbitan serta para pelakon atas kemenangan ini yang tentunya turut mengharumkan nama Malaysia di luar negara. Semoga filem yang dikhabarkan bakal memasuki pawagam pada Ogos depan ini akan mendapat sambutan daripada peminat-peminat filem tempatan,” katanya.

Ucapan Perdana Menteri itu menunjukkan beliau juga prihatin dan mengambil tahu perkembangan industri perfileman negara, paling penting memberi kata-kata semangat pada kedua pembikin filem itu agar terus meraih kejayaan di peringkat antarabangsa.
Ray yang juga ahli Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) sebelum ini menyifatkan kejayaannya itu sebagai memberi inspirasi pada pembikin filem lain khususnya generasi muda agar menghasilkan lebih banyak filem. (Baca lagi: Belaban Hidup: Infeksi Zombie letak standard filem seram terbaik dunia, Ray Lee intai peluang ke Hollywood)

Selepas mencipta sejarah di Singapura, Ray sekali lagi mencuri tumpuan dunia apabila filemnya itu bertanding di International Symbolic Art Film Festival di Russia untuk kategori Filem Terbaik dan Filem Seram Terbaik yang akan berlangsung hari ini (27 Mac).
Perkembangan terkini, filem tersebut mencatat kejayaan berganda apabila menang kedua kategori yang dipertandingkan dalam acara berkenaan.
- Kafebuzz.my

