18/05/2026

Kafebuzz

Portal hiburan komprehensif

Beraya bersama Salman Khan menerusi ‘Radhe: Your Most Wanted Bhai’

2 min read

Aksinya di layar perak memang tiada tandingan.

Siapa tidak kenal dengan kehebatan superstar Salman Khan yang mewarnai banyak filem Bollywood. Kali ini, dia kembali dengan buah tangan terbaharu berjudul ‘Radhe: Your Most Wanted Bhai‘.

Dalam kisah filem terbaharunya ini, Salman melakonkan watak sebagai Radhe iaitu pegawai polis yang ditugaskan untuk menyelesaikan kes jenayah membabitkan sindiket dadah yang merosakkan golongan remaja berlaku di Mumbai.

Kehebatan Radhe dalam menyelesaikan kes jenayah dengan caranya sendiri membuatkan penjenayah berasa gerun sehingga sindiket dadah tersebut berjaya ditumpaskan.

Filem yang ditunggu-tunggu ramai peminat Bollywood ini dibawakan MSK Film Production Sdn Bhd dan KS Movie Sdn Bhd dengan kolaborasi Zee Studios.

Salman muncul sebagai Radhe, pegawai polis yang membanteras sindiket dadah di Mumbai.

Menariknya, Salman bukan saja menjadi hero dalam filem penuh aksi ini tetapi bertindak sebagai produser bersama Sohail Khan dan Atul Agnihotri.

Diarahkan Raja Tari, ‘Prabhudeva’, peminat berpeluang melihat aksi Salman bergandingan dengan aktres jelita, Disha Patani. Tidak ketinggalan, aktor Jackie Shroff dan Randeep Hooda turut memainkan peranan penting dalam filem ini.

Salman bergandingan dengan Disha Patani menerusi filem terbaharu, ‘Radhe: Your Most Wanted Bhai’.

Pengarah MSK Group, Saradha Sivalingam Kalai berkata, MSK Film Production Sdn Bhd bersama anak syarikat kumpulan yang menerajui syarikat pengedaran dan produksi filem yang berpangkalan di Malaysia dan Singapura berbangga meneruskan usaha mengedarkan filem antarabangsa dari seluruh dunia menerusi pelbagai platform sejak lebih 20 tahun lalu.

“Sebagai salah satu peneraju pengedaran filem antarabangsa, hak cipta filem kami terbukti memberi keuntungan kepada subpengedar di seluruh dunia dan kami meneruskan dengan menjaga hubungan yang harmoni bersama pemamer antarabangsa, stesen TV, OTT dan platform digital.

“Ia suatu yang imperatif apabila kami bersama dan fikir jalan penyelesaian terbaik untuk sinema ketika industri filem berdepan situasi pandemik COVID-19. Kami akan terus memberi sokongan kepada pengusaha pawagam dengan menayangkan filem di pawagam sedaya boleh dan memastikan ia mematuhi peraturan dan protokol yang dinyatakan oleh kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan media.

Aksi Radhe lakonan Salman pastinya mengujakan peminatnya.

Ujarnya, pihaknya begitu teruja bekerjasama dengan Zee Studios untuk membawa filem ‘Radhe: Your Most Wanted Bhai‘ yang dijangka menjadi filem pecah panggung di Malaysia dan Brunei.

“Kami teruja membawa penonton kembali ke pawagam menerusi kerjasama dengan Zee Studios kali ini agar filem ini dapat mewujudkan atmosfera yang menyeronokkan,” katanya.

Filem terbaharu, ‘Radhe: Your Most Wanted Bhai’ bakal ditayangkan di pawagam sempena Aidilfitri kali ini.

Ujarnya, peminat juga boleh menyaksikan trailer filem ‘Radhe: Your Most Wanted Bhai’ dan video di sebalik pembikinan filem ini merusi saluran YouTube.

Berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuatkuasa ketika ini, filem ini akan ditayangkan menerusi Astro First dan tonton CINEMA (cinema.tonton.com.my) bermula 3 Jun 2021.

Filem ‘Radhe: Your Most Wanted Bhai’ dijangka menjadi filem pecah panggung di Malaysia dan Brunei.
  • Kafebuzz.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *