Pendengar Zayan kongsi kisah sendiri, datuk cabul cucu
1 min read
Seorang lelaki bergelar datuk didakwa mencabul cucu sendiri berusia 11 tahun.
Kisah benar tersebut didedahkan seorang pemanggil yang meluahkan perasaan dan masalah dihadapi dalam segmen Bukan Nama Sebenar yang disiarkan secara langsung menerusi stesen radio, Zayan, pagi tadi.
Ibu kepada kanak-kanak malang itu yang hanya dikenali sebagai Mira memberitahu penyampai radio, Faizal Ismail dan Nana Mahzan bersama pendakwah, Ustaz Izzhar Nazri, kejadian tersebut berlaku sebanyak tiga kali masih menjadi trauma kepadanya termasuk suami dan anak perempuannya yang menjadi mangsa seksual.
Mira yang menghubungi konti radio tersebut untuk mendapatkan khidmat nasihat turut menyatakan dia dan suami masih belum membuat laporan polis dan hanya menghalau bapa mentua yang juga suspek kes cabul remaja bawah umur itu keluar dari rumah mereka.
Ustaz Izzhar yang juga terkejut dengan kisah tragis anak gadis itu, memberikan nasihat agar tindakan susulan diambil terhadap suspek untuk membendung jenayah tersebut tidak berulang dan menjadi pengajaran kepada orang ramai supaya berhati-hati dalam berdepan situasi yang sama.

Segmen Bukan Nama Sebenar yang dikendalikan duo penyampai popular, Faizal bersama Nana bersiaran setiap Khamis jam 8 pagi, sering menarik perhatian ramai pendengar yang turut berkongsi masalah hidup termasuk kes rumah tangga.
Pengisian segmen ini bukan saja membuka ruang kepada pemanggil bercerita masalah kehidupan sebenar tetapi juga membuat pengakuan kepada perbuatan dosa yang berlaku pada mereka.
- Kafebuzz.my

