10/06/2026

Kafebuzz

Portal hiburan komprehensif

“Mereka anggap satu aliran baru filem seram dari negara Islam guna penceritaan lain daripada gaya filem ‘Mat Salleh” – Amir Muhammad kongsi kejayaan Roh

2 min read

Filem tempatan mempunyai potensi menembusi pasaran di luar negara dan meraih sambutan penonton antarabangsa jika pembikinannya mencapai standard antarabangsa.

Perkara itu diakui pengarah filem terkenal, Amir Muhammad yang berpandangan aspek teknikal seperti syot perlu diberi fokus. Amir yang merupakan produser filem Roh meraih pencapaian antarabangsa apabila filem terbitan Kuman Pictures itu ditayangkan di Kemboja, Brunei, Singapura dan Amerika Utara serta menerusi platform penstriman dunia, Netflix.

“Sejujurnya, kami pastikan syot sekurang-kurang dari segi teknik tidak akan ditolak penstriman utama di dunia seperti Neflix. Kami tak nak lepas siap, dapat maklum balas filem okay tapi kamera tak menepati piawai mereka.

“Saya ingat dulu ketika berjumpa dengan Teck Tan, pengarah filem Spinning Gasing, kami berbincang pasal pengedaran antarabangsa. Dia mengatakan paling tidak, filem tidak di ‘reject’ atas alasan teknikal tapi kalau alasan cerita tak ‘best’, lakonan tak bermutu tak mengapa sebab itu subjektif tapi ‘basic’ piawaian harus ada. Sebab itu kami memang sengaja ‘research’ jenis kamera apa yang Netflix nak.

“Jalan cerita dan pemilihan pelakon tiada kaitan langsung. Kami serahkan pada pengarah untuk membuat apa yang dirasa diperlukan. Isi filem itu tidak dibuat begitu ‘calculative’ tapi mutu gambar dan bunyi, kami pastikan ia menepati piawaian antarabangsa walaupun bajet tak tinggi,” katanya pada program FDAM Live yang membawa topik Filem Kita Ke Persada Dunia, Mampukah Kita?, disiarkan secara langsung menerusi Facebook, FDAM baru-baru ini.

Amir muncul sebagai tetamu dalam program FDAM Live baru-baru ini.

Ujarnya, dari segi teknik filem Roh bukanlah filem yang mampu mengalahkan filem besar atau sedang di dunia sebab ia dihasilkan dengan kos RM360,000, tiada kesan khas yang mengujakan tapi percaya faktor keunikkan cerita dan ‘setting’.

“Apabila melihat banyak ulasan yang keluar selepas filem Roh masuk Netflix di seluruh dunia kecuali Amerika Utara, banyak ulasan dari Sepanyol, United Kingdom dan sebagainya.

Mereka rasa Roh sebagai ‘folk horror’, seolah dongeng, asing dari budaya mereka tapi mereka rasa ia menarik sebab bertempat di dalam hutan bukan dari hutan negara mereka sendiri, Islam dan budaya,” katanya.

Amir bersama Ray Lee dan Viknesh Perrabu ditemubual Ketua Sekretariat FDAM, Zaini Hassan bertindak sebagai moderator.

Akuinya, walaupun penonton luar negara tidak faham sangat tetapi ‘look and feel’ yang berbeza.

“Mungkin juga bernasib baik apabila banyak artikel media berbicara Roh selari dengan filem Joko Anwar contohnya Perempuan Tanah Jahanam yang turut dicalonkan untuk kategori Oscar. Mereka anggap ini sebagai satu aliran baru filem seram dari negara Islam menggunakan penceritaan lain daripada gaya filem ‘Mat Salleh’.

“Ia bukan suatu yang dirancang tapi secara logik kalau kita berada di negara seperti Amerika Syarikat dan kita tonton filem Hollywood, kita pilih filem luar, kenapa nak tonton filem sekadar ‘copy paste’ atau photostat apa yang mereka sudah ada.

“Mereka hendak melihat sesuatu yang lain, jadi muncul fenomena beberapa filem Asia yang berjaya ditayangkan walaupun dalam kategori kecil seperti ‘art house’atau indie dan sebagainya, ia bukan contoh filem aksi triller tapi filem lebih kecil yang unik dari segi budaya dan penampilan,” katanya.

  • Kafebuzz.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *