Mama bidan terjun dibuli ‘bos dari neraka’
2 min read
Bagaimana kisah seorang wanita menjadi bidan terjun membesarkan empat orang anak?
Ia pastinya mencabar bagi wanita itu untuk mengharungi kehidupan baharu yang dipaparkan dalam drama bersiri, Uncle Bos Mama. Karya terbitan IFame ini memaparkan kisah merupakan sebuah siri adaptasi novel romantik kekeluargaan paling laris terbitan Karangkraf pada tahun 2020 dengan judul sama.
Penceritaan mengisahkan ketabahan seorang wanita, isu buli tempat kerja, romantik, dan juga mengetengahkan nilai kasih sayang keluarga. Drama ini memberi penekanan mengenai kasih sayang seorang ‘mama instant’ yang sanggup bersusah payah membesarkan empat orang anak jagaannya dan pada masa sama harus berdepan dengan masalah di pejabat sebagai konflik utama dalam naratif.
Penceritaan menerusi 24 episod ini adalah hasil sentuhan Hadith Omar juga selaku pengarah bagi drama terkenal Imam Instant Ustazah Scammer. Drama penuh emosi suka duka ini dibintangi oleh barisan pelakon popular seperti Merqeen sebagai Josh, Ezani Jasny (Fish), Yusuf Bahrin (Haidir), Riz Amin (Shariman), Wan Nur Azlin (Maznah) dan Eliva Chua (Leona).

Pengurus Saluran Astro Ria, Idlan Zahari berkata, suntikan elemen kekeluargaan menjadi tulang belakang pada drama ini di mana kekuatan seorang wanita membesarkan 4 orang anak jagaan diberi penekanan sepanjang drama ini.
“Tambahan suntikan elemen ‘bos dari neraka’ yang mengetengahkan hubungan antara pekerja dan majikan dan juga cinta tidak berbalas, menjadi perasa dalam drama ini. Semua elemen yang digambarkan menerusi drama ini adalah elemen yang terjadi dalam kehidupan seharian kita menjadikan ia lebih dekat kepada penonton dan boleh dijadikan sebagai teladan.
“Drama ini menampilkan pelakon hebat seperti Merqeen dan juga Ezani, dalam pembawaan watak semestinya meningkatkan lagi kualiti drama Uncle Bos Mama di kaca mata penonton,” katanya dalam satu kenyataan media.

Bagi Hadith, drama ini banyak memberi mesej pengajaran kepada masyarakat yang sesuai ditonton semua lapisan umur dan masyarakat seperti kasih sayang seorang ibu terhadap anak-anak, peranan seorang majikan dalam menjalanan tanggungjawab dan menjaga kebajikan pekerja.
“Walaupun elemen romantik adalah perisa utama drama ini tetapi mesej-mesej yang baik ini seharusnya menjadi contoh dan teladan buat kita semua terutama isu layanan majikan kepada pekerja. Saya berharap penonton menikmati naskah ini sebaiknya dan akan lebih menghargai keluarga, dan pekerja mereka selepas menonton drama ini,” katanya.
Drama Uncle Bos Mama bermula dengan Fish, lakonan Ezzanie yang menjadi bidan terjun sebagai seorang ‘mama instant’, menjaga 4 orang anak yang ditinggalkan setelah kematian kakak angkatnya. Apabila kakaknya dipenjarakan dan pada masa sama terpaksa berhadapan konflik di tempat kerja apabila sering dibuli dan mendapat layanan buruk daripada majikannya yang digelar ‘bos dari neraka’.
Watak Josh lakonan Merqeen digambarkan sebagai seorang majikan yang keras kepala, baran dan angkuh. Fish selaku pembantu peribadi kepada Josh sering mendapat layanan buruk dan menjadi tempat Josh untuk melepaskan geram.
Fokus Fish di tempat kerja mula terganggu apabila pelbagai masalah ditimbulkan oleh anak-anak jagaannya. Drama bersiri terbaharu Astro ini mula bersiaran sejak 9 September lalu, setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam di Astro Ria (saluran 104), On Demand, strim di Astro GO dan juga sooka.
- Kafebuzz.my

