02/04/2026

Kafebuzz

Portal hiburan komprehensif

Eizlan Yusof kini Pengerusi Jawatankuasa Skim Wajib Tayang FINAS

2 min read

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) mengumumkan pelantikan Datuk Seri Eizlan Yusof sebagai Pengerusi Jawatankuasa Skim Wajib Tayang FINAS berkuatkuasa 15 Mac 2021 sehingga 22 Mei 2022.

Eizlan merupakan Ahli Perbadanan FINAS yang kini turut memegang portfolio Jawatankuasa Hal Ehwal Warga Industri, Kebajikan dan Data Industri FINAS.

Skim Wajib Tayang merupakan isu besar yang berlaku dalam kalangan penggiat seni membabitkan tempoh tayangan dan jumlah filem tempatan yang ditayangkan di pawagam.

Produser filem tempatan sebelum ini berdepan cabaran getir apabila filem terbaharu yang diterbitkan mereka tidak dapat ditayangkan di pawagam akibat penularan COVID-19 yang menyaksikan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dijalankan di seluruh negara hingga pawagam ditutup.

Pada April tahun lalu, Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Saifuddin Abdullah ada menyatakan pihaknya akan memperhalusi perlaksanaan Skim Wajib Tayang atau sebarang insentif baharu bertujuan merangsang semula industri perfileman pasca COVID-19, seperti dilaporkan Bernama.

Lima tahun lalu, FINAS pernah bercadang memperkenalkan syarat baharu skim berkenaan apabila menyebut dua jawatankuasa bertindak menapis filem sebelum lulus tayangan di pawagam.

Apa yang menarik dicadangkan pada masa itu adalah filem yang diklasifikasi sebagai Gred A diberi keistimewaan mendapat lebih banyak tayangan pada waktu perdana.

Bagaimanapun, filem yang tidak mendapat skim tersebut pula akan dicadangkan ditukar format kepada video untuk dijual kepada stesen TV atau dieksport ke luar negara. (Baca lagi: Syarat ‘Ketat’ Skim Wajib Tayang).

Ketika pandemik COVID-19 masih menghantui orang ramai, filem tempatan terbaharu masih mendapat peluang ditayangkan tetapi menerusi platform Astro First. Begitu juga ketika PKP sebelum ini, pawagam pernah dibenarkan beroperasi pada 1 Julai 2020 dan 5 Mac lalu tetapi sambutan daripada pengunjung masih sepi.

Pastinya, penggiat seni mengharap Eizlan yang mengetuai Jawatankuasa Skim Wajib Tayang FINAS dapat memikirkan jalan penyelesaian terbaik dan mekanisma yang lebih efektif untuk membantu filem tempatan agar terus mendapat sokongan penonton dan paling tidak balik modal dari aspek kutipan.

  • Kafebuzz.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *