Syarat ‘Ketat’ Skim Wajib Tayang

Syarat baru Skim Wajib Tayang yang akan diperkenalkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) berkuatkuasa 1 Julai nanti memberi fokus pada usaha menjaga kualiti filem tempatan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Kamil Othman berkata, dua jawatankuasa bertindak menapis filem sebelum lulus tayangan di pawagam.

“Jawatankuasa pertama ini akan menilai tahap kualiti filem yang dapat dikeluarkan ke pasaran dan diterima masyarakat.

“Sekiranya mereka tidak puas hati, ia akan diberi kepada jawatankuasa kedua dan jika di tahap piawaian, syarikat penerbitan filem itu akan mendapatkan Skim Wajib Tayang.

“Namun, jika filem itu tidak dipersetujui untuk tayangan di pawagam dalam penilaian pertama, ia akan dibawa ke penilai kedua untuk diteliti sekali lagi sama ada layak ditayangkan atau tidak.

“Ia dilakukan supaya penilaian dapat dilakukan dengan telus,” katanya.

Katanya, jawatankuasa pertama dianggotai mereka daripada FINAS, Persatuan Pempamer Filem Malaysia (MAFE) dan Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM).

Begitu juga, ahli jawatankuasa lain turut disertai pensyarah, media dan orang ramai.

“Jika tapisan kedua juga tidak ‘lepas’, FINAS akan terus pergi berjumpa pempamer dan berunding terus sama ada mereka bersetuju untuk menayangkannya atau tidak,” katanya.

Tambahnya, proses ‘kelulusan’ filem tempatan yang melalui dua penilaian ini bertujuan mengatasi lambakan filem di pasaran dan memastikan filem berkualiti masuk ke pawagam.

“Kebiasaannya, pemilik pawagam lebih arif filem mana yang boleh dijual atau tidak boleh dijual. FINAS juga akan mengaplikasikan sistem gred.

“Filem yang diklasifikasikan sebagai Gred A akan diberi keistimewaan mendapat lebih banyak skrin dan ditayangkan pada waktu perdana.

“Bagaimanapun, cadangan itu masih dalam perbincangan untuk menentukan kriteria misalnya adakah filem boleh capai tontonan daripada pelbagai masyarakat atau genre filem itu ada ciri-ciri kenegaraan contohnya mengambil ikon tanah air sebagai subjek utama filem,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.

Bagi filem yang tidak mendapat Skim Wajib Tayang, ia akan dicadangkan ditukar format kepada video untuk dijual kepada stesen televisyen atau dieksport ke luar negara.

“Siapa tahu, penerbit yang gagal itu mungkin berjaya di luar negara? Sekiranya gagal, penerbit filem berkenaan boleh mengemukakan rayuan.

“Kebanyakannya, filem seperti ini boleh ditayangkan di pawagam eksklusif saja seperti yang dilakukan sesetengah pawagam di negara ini,” katanya.

– Kafebuzz.my

 

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*