Apa itu Komuniti MADANI?
2 min read
Perpaduan bukan hanya cakap kosong.
Sebaliknya tindakan ke arah menyatupadukan rakyat Malaysia sesuai dengan konsep Malaysia MADANI perlu dilakukan. Justeru, Komuniti MADANI diwujudkan yang merupakan badan sukarela pelbagai kaum yang ditadbir urus oleh Jabatan Penerangan Malaysia bertujuan memupuk nilai-nilai murni dan kenegaraan dalam kalangan rakyat.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil hadir merasmikan majlis Prapelancaran Komuniti MADANI di Dataran Tulip, Midtown PERDA, Seberang Perai, Pulau Pinang pada 3 Jun lalu. Majlis yang diadakan bersempena Karnival Kita MADANI peringkat negeri Pulau Pinang ini turut dihadiri Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Ir Haji Ahmad Zakiyuddin Abd Rahman serta hampir 1,500 orang termasuk wakil-wakil komuniti secara hybrid dari seluruh negara.

Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD), sejumlah 1,878 Komuniti MADANI akan ditubuhkan secara berfasa di seluruh negara. Tiga teras utama penubuhan Komuniti MADANI ialah bagi membantu pemasaran maklumat Kerajaan, mendigitalkan komuniti serta memupuk semangat perpaduan, patriotik dan kenegaraan.
Fahmi dalam ucapannya memaklumkan bahawa kerajaan amat mengalu-alukan penyertaan masyarakat dalam usaha melestarikan komuniti yang berinformasi bagi menyampaikan maklumat yang sahih, telus dan bermanfaat.
Beliau yang dalam rangka lawatan kerja ke negeri Kedah dan Pulau Pinang bermula 2 hingga 4 Jun 2023, turut menyantuni penduduk Kota Kuala Muda, Kedah dalam program Hari Bersama Komuniti (HBK) Pusat Ekonomi Digital (PEDi) anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Mutlimedia Malaysia (SKMM) di PEDi Kota Kuala Muda.

Fahmi ketika berucap merasmikan HBK menyeru agar rakyat sentiasa memanfaatkan kemudahan PEDi. Beliau turut memuji komitmen PEDi Kota Kuala Muda yang telah berjaya melahirkan ramai usahawan sekali gus meningkatkan sektor ekonomi digital setempat.
Fahmi turut meluangkan masa menghadiri sesi libat urus bersama warga kerja jabatan dan agensi Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) di Kedah dan Pulau Pinang bagi mengumpulkan maklum balas untuk membantu menambah baik penyampaian perkhidmatan jabatan dan agensi KKD di peringkat negeri. Lawatan kerja ini turut disertai Ketua Setiausaha KKD, Datuk Mohamad Fauzi Md Is; Ketua Pengarah Penyiaran, Suhaimi Sulaiman bersama-sama ketua jabatan dan agensi di bawah KKD.

- Kafebuzz.my

