Akhirnya penggambaran ‘outdoor’ dibenarkan, pawagam dibuka
1 min read
Bermula 5 Mac ini, segala aktiviti penggambaran dan operasi pawagam di kawasan yang dikuatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) adalah dibenarkan.
Ia tertakluk kepada pematuhan semua garis panduan dan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang digariskan Majlis Keselamatan Negara (MKN) meliputi protokol pencegahan penyakit dan sekatan, saringan kesihatan, pembersihan dan nyah kuman premis, penjarakan fizikal dan tatacara keselamatan pekerja serta tindak balas kecemasan.
Semalam, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pelaksanaan PKPB di Selangor, Pulau Pinang, Johor, Negeri Sembilan, Kedah, Perak, Kelantan, Sarawak dan Kuala Lumpur manakala PKPP di Melaka, Pahang, Terengganu, Perlis, Sabah, Putrajaya dan Labuan bermula 5 sehingga 18 Mac 2021.
Dalam tempoh tersebut, pergerakan rentas daerah dalam negeri yang sama adalah dibenarkan di semua negeri kecuali Sabah manakala pergerakan rentas negeri masih lagi tidak dibenarkan.
Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dalam satu kenyataan media menggesa syarikat produksi dan pengusaha pawagam agar patuh pada SOP dalam tempoh perintah PKPB dan PKPP.
- Kafebuzz.my

