Autumn in My Heart dalam versi Luruhnya Bunga Cinta
3 min read
Drama bersiri popular Korea berjudul Autumn in My Heart pernah mencipta fenomena pada penonton di negara ini.
Kehebatan drama tersebut diteruskan apabila ia adaptasi dalam versi drama Melayu menerusi judul Luruhnya Bunga Cinta.
Drama bersiri 20 episod ini diarahkan Muhamad Riza Baharudin manakala skrip ditulis oleh Hafiz Halim, Intan Zarina Mohd Yasin dan Farah Bani. Luruhnya Bunga Cinta dibintangi oleh pelakon-pelakon berbakat seperti Redza Rosli melakonkan watak Nuh, Tracie Sinidol (Nuha), Nabila Razali (Sara), Bella Luna (Aleen), Auni Yusrii (Aara) dan Aniq Durar (Awal).

Plot mengisahkan takdir dua gadis yang tertukar sejak bayi dan perubahan mendadak dalam hidup mereka selepas masa silam tersebut terbongkar selepas beberapa tahun. Versi Malaysia ini juga memperkenalkan Sara, watak baharu lakonan Nabila yang akan menyuntik elemen segar dalam kisah cinta yang menyayat hati ini.
Watak Jamaludin dan Adita yang sedang menunggu kelahiran anak perempuan mereka, Aara (Auni Yusri) telah mengambil keputusan untuk melahirkan bayi di klinik tempatan di sebuah daerah kecil kerana hujan ribut yang melanda kawasan tersebut. Jalan utama ke laluan bandar besar telah terhalang oleh sebatang pokok besar yang tumbang.
Secara kebetulan, Noriah yang sedang sarat mengandung juga melahirkan anak perempuannya, Nuha (Tracie Sinidol) di tempat yang sama. Label tag nama ibu di katil bayi masing-masing telah terjatuh dan tersalah letak. Insiden ini menyebabkan Nuha dan Aara tertukar identiti mereka kemudiannya dibawa pulang oleh keluarga berasingan.
Selepas beberapa tahun, Nuha dan Aara belajar di sekolah yang sama. Nuha membesar dengan abangnya, Nuh (Redza Rosli) di rumah agam milk Jamaluddin dan Adita manakala Aara tinggal dengan abangnya, Anwar di rumah kos rendah milik Noriah. Nuha, seorang yang lemah lembut dan sangat disayangi oleh keluarganya. Aara pula terpaksa hidup dalam kemiskinan. Aara iri hati dengan kehidupan Nuha yang dicurahi dengan kasih sayang dan kemewahan.
Suatu hari, Nuha mengalami kecederaan teruk dan disahkan mengidap Talasemia. Hal tersebut menimbulkan kecurigaan Jamaludin kerana keluarga mereka tidak mempunyai rekod penyakit itu. Akhirnya, kebenaran yang mengejutkan terbongkar bahawa Aara dan Nuha telah tertukar secara tidak sengaja sewaktu bayi.
Aara yang telah lama membenci kehidupannya di kampung, mengambil inisiatif untuk tinggal di rumah mewah Jamaludin dan Adita, manakala Nuha secara sukar rela memulakan kehidupan baharunya di rumah kampung Noriah. Nuha terputus hubungan dengan Nuh apabila Jamaludin menerima tawaran kerja di luar negara dan mereka sekeluarga berhijrah ke sana.
Drama bersiri, Luruhnya Bunga Cinta ini turut menampilkan lagu Belakang Tabir nyanyian Syamel sebagai lagu runut bunyi. Lagu ciptaan Syamel dan Jiwa ini juga lirik ditulis oleh Syamel dan diterbitkan Aubrey Suwito.
Drama terbitan Global Station Sdn Bhd ini yang ditaja oleh Nivea akan menemui penonton bermula 19 September lalu, setiap hari dari Isnin hingga Jumaat jam 7 malam menerusi slot Akasia dan penstriman di iQIYI satu jam selepas siaran di TV3.

Ia juga disertakan dengan sari kata dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia di mana penonton boleh mengakses secara percuma pada bila-bila masa melalui www.iQ.com/local atau muat turun aplikasi iQIYI di App Store dan Play Store.
Pelanggan VIP iQIYI boleh menikmati akses VIP Ekspres bagi drama ini yang membolehkan penonton untuk menonton episod terkini, 1 jam selepas tayangan di TV3 manakala pengguna percuma dapat menonton selepas 48 jam.

- Kafebuzz.my




