Kenal dan faham sunnah Rasulullah S.A.W di TV Alhijrah
3 min read
Meraikan Maulidur Rasul merupakan salah satu cara umat Islam mempamerkan rasa kasih dan cinta kepada Nabi Muhammad S.A.W.
Kelahiran Baginda menjadi simbolik kepada sempurnanya agama Islam, sebuah agama yang menebarkan kasih sayang, anti kekerasan serta rahmat buat sekalian alam.
Bersempena sambutan hari kelahiran Nabi Muhammad SAW, stesen TV AlHijrah menyiarkan enam program istimewa iaitu Cinta Ilmu Maulidur Rasul, Assalamualaikum Khas Maulidur Rasul, Peristiwa Maulid, Dakwah Live Maulid, Hijrah Berselawat Maulidur Rasul dan Ketika Cinta Bertasbih 2.

Cinta Ilmu, sebuah program pengajian berkitab menemui penonton pada setiap Isnin hingga Rabu, dari 7.30 malam hingga 8 malam.
Sepanjang minggu Maulidur Rasul kali ini, tiga segmen istimewa disusun khas buat penonton. Segmen pertama iaitu Islam membincangkan sifat wajib dan sifat kemanusiaan Rasul. Untuk segmen kedua iaitu Iman pula berkongsi cerita tentang perjuangan dan akhlak Rasulullah S.A.W. Terakhir iaitu segmen Ihsan memfokuskan topik makna cinta kepada Allah.
Bagi program Assalamualaikum Khas Maulidur Rasul pula menemani penonton pada 28 September 2023, bermula jam 7 pagi. Kali ini ia membawa penonton mengenali dan memahami sunnah-sunnah yang dilakukan oleh Rasulullah S.A.W dari sekecil-kecil perbuatan yang boleh dijadikan sebagai amalan harian dalam hidup kita. Turut diselitkan juga dalam program Assalamualaikum ialah siaran langsung sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan yang membawa tema ‘Perpaduan Teras Malaysia Madani’.

Sambutan Maulidur Rasul di TV AlHijrah kian menarik dengan tayangan program khas Maulidur Rasul berjudul Peristiwa Maulid. Program yang berlangsung selama 60 minit ini akan menayangkan peristiwa-peristiwa penting yang berlaku di dalam kehidupan Nabi Muhammad S.A.W.
Objektif program ini adalah untuk memberikan iktibar kepada penonton menerusi kisah-kisah dan cabaran yang dihadapi oleh Rasulullah ketika diuji serta menghayati perjuangan Baginda pada 28 September 2023, jam 9 malam dengan penampilan istimewa Habib Nael Ben Tahir.
Dalam program Dakwah Live edisi istimewa Maulidur Rasul dihidangkan dengan kupasan topik kasih Rasulullah S.A.W terhadap umatnya meskipun Baginda sudah lama meninggalkan dunia. Kuatnya kasih dan cinta Rasulullah terhadap umatnya masih dapat dirasai sehingga kini.
Pengacara Faizal Ismail, Ustazah Isfadiah dan pengacara bersama Wasiril Aswad serta tetamu undangan, Prof Madya Datuk Dr Mohd Farid Ravi membincangkan topik ini dengan lebih lanjut pada 27 September 2023, jam 9 malam.

Istimewa, program Hijrah Berselawat juga bergema kembali dengan alunan selawat kepada junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. Selawat dan qasidah yang dialunkan bertujuan untuk menyampaikan kerinduan, kasih dan sayang kepada Rasulullah.
Masih mengekalkan Ustaz Don Daniyal sebagai pentausiyah, tetapi kali ini beliau ditemani oleh Ustaz Megat Mohd Zain, kumpulan InTeam, Ustaz Husaini, Amer Munawer, Azan Addin, Pot Amir, Naqiu dan adik Umar Razeeq. Program Hijrah Berselawat bersempena Maulidur Rasul akan bersiaran pada 30 September ini, jam 9 malam.

Bagi penggemar filem Indonesia berpeluang menonton filem popular, Ketika Cinta Bertasbih 2 pada 1 Oktober ini, jam 9 malam. Filem ini mengisahkan seorang pemuda bernama Azzam yang bergelut dalam mencari kerja usai menamatkan pengajianya di Universiti Mesir. Kegusaran Azzam kian menebal apabila gadis yang dicintainya iaitu Anna bakal berkahwin dengan rakannya sendiri.
Kesemua program istimewa Maulidur Rasul ini juga boleh ditonton menerusi aplikasi digital AlHijrah Plus yang merupakan platform alternatif untuk penonton menyaksikan program hiburan kekeluargaan di stesen TV AlHijrah walau di mana jua mereka berada.
- Kafebuzz.my

