10/06/2026

Kafebuzz

Portal hiburan komprehensif

Ruby Snapper, Amberjack, Pearl Perch, Barracouta antara hasil terbaik Ahmessi Semporna 2022

2 min read

Keindahan perairan Semporna Sabah memang mempersonakan. Ia lebih mengujakan buat kaki pancing yang berpeluang memancing di kawasan laut dalam.

Pertandingan memancing peringkat antarabangsa iaitu Ahmessi Semporna 2022 berjaya mencatat satu sejarah dunia bagi aktiviti memancing di laut dalam khususnya di lokasi yang sangat diidamkan kaki pancing dalam mahupun luar negara.

Antara aksi menarik peserta Ahmessi Semporna 2022.

Pengarah Program Ahmessi Semporna 2022, Khalil Salleh berkata, selain peserta tempatan, pertandingan yang julung-julung kali diadakan di perairan Semporna Sabah itu menarik penyertaan 70 peserta keseluruhan dari Malaysia, Thailand, Singapura, Brunei dan Indonesia.

“Pertandingan ini adalah tarikan baru untuk pemancing-pemancing antarabangsa yang berpeluang bersama-sama dalam sebuah pertandingan untuk merasai pengalaman memancing di laut dalam sekitar Semporna yang kaya dengan pelbagai spesies ikan terutama ikan Kerapu Merah, Layaran dan Tuna. 

“Kepelbagaian peserta dari seluruh negara dan negara jiran ini juga memberi impak positif, kerana belum ada lagi penganjuran pertandingan antarabangsa yang melibatkan keseluruhan peserta dalam dan luar negara memancing di satu kawasan,” katanya dalam kenyataan media.

Peserta memancing Ahmessi Semporna 2022 bergambar kenangan.

Menurutnya, seramai 6 pemenang dipilih berdasarkan berat setiap tangkapan ikan ketika pertandingan ini berlangsung selama tiga hari dari 1 hingga 3 Oktober lalu.

“Hampir 60 peratus peserta berjaya mendapat tangkapan yang bermula seawal 6 pagi hingga 6petang. Jenis ikan yang berjaya dibawa naik dari ke dalaman 200 hingga 300 meter ialah Ruby Snapper, Amberjack (Aji-aji), Pearl Perch (Cinculu), Barracouta, Kerapu Bintik dan Kerapu Belang,” katanya.

Khalil Salleh

Khalil yang juga Presiden Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA) menyatakan Semporna merupakan destinasi pelancongan popular dalam kalangan pelancong dalam dan luar negara. Beliau sangat yakin memancing mampu menjadi aktiviti menarik dalam mempromosikan lokasi tersebut yang mempunyai nilai alam semula jadi yang tinggi kepada peminat di seluruh dunia.

“Ini dapat dilakukan dengan mempelbagaikan aktiviti termasuk pelancongan sukan seperti pertandingan memancing ini. Ahmessi Semporna 2023 akan kembali lagi dengan lebih ramai peserta dalam penganjuran pada tahun hadapan,” katanya. 

Aksi peserta-peserta Ahmessi Semporna 2022 bersama hasil tangkapan ikan masing-masing.

Peserta Shariman Nazri dari Negeri Sembilan berjaya menjadi johan diikuti Muhammad Aimullah (Johor), Kadek Wawan Wijaya (Bali, Indonesia), Fauzi Mansur (Selangor), Mohd Zurhairie (Johor) dan Azilah Hamzah (Johor).

Ahmessi Semporna 2022 mendapat sokongan Lembaga Promosi Pelancongan Malaysia, PROFIMA dan Fishing Buddies Academy (FBA) iaitu akademi memancing terkemuka tempatan.

Pertandingan Ahmessi Semporna 2022 berjaya tarik perhatian peserta dari Malaysia, Thailand, Singapura, Brunei dan Indonesia.
  • Kafebuzz.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *