Belajar bersama My Salah Mat Omar & Hana
2 min read
Kanak-kanak lebih mudah belajar solat bersama kartun animasi popular Omar & Hana.
Terbaharu, program hak cipta bersama Digital Durian Animation dan Astro Malaysia serta kolaborasi bersama My Salah Mat ini melancarkan sebuah produk bertujuan membuatkan pembelajaran solat lebih mudah dan menyeronokkan bagi kanak-kanak beragama Islam.
Pertemuan di London pada tahun 2019 di antara dua pengasas syarikat, Kamal Ali (Pengarah My Salah Mat) dan Sinan Ismail (Ketua Pengarah Eksekutif, Digital Durian Animation) membawa kepada potensi kedua syarikat itu untuk berkolaborasi.
Namun hasrat itu terpaksa ditangguhkan kerana cabaran pandemik COVID-19 sehingga pada tahun ini, My Salah Mat Omar & Hana berada di pasaran Malaysia dan antarabangsa.
Sejadah ini direka untuk melatih kanak-kanak sebutan tepat di dalam solat dengan cara lebih menyeronokkan. Hanya menekan butang pada sejadah ini, ia akan mengeluarkan audio yang mempunyai informasi waktu solat, cara mengambil wuduk, bacaan surah lazim, doa-doa dan banyak lagi.

Menariknya, sejadah interaktif Omar & Hana ini berinteraksi dengan menggunakan suara Omar & Hana dalam bahasa Melayu dan Inggeris.
Kamal berkata, pihaknya mengalami beberapa kesukaran antaranya memastikan sejadah ini dapat memberi sebutan bahasa Arab yang tepat seperti mana rakyat Malaysia membacanya.
“Secara amnya, praktikal solat semua adalah sama tetapi ia mempunyai sedikit perbezaan.
“Ini agak memakan masa untuk merakamkan audio sekali lagi bagi memastikan pembelajaran solat ini sempurna bagi kanak-kanak di Malaysia,” katanya.

Lebih istimewa mengenai sejadah ini ialah ia datang bersama buku aktiviti mesra kanak-kanak dan buku manual percuma sebagai panduan kepada ibu bapa mengenai proses pembelajaran ini.
“Kami juga ingin memastikan bahawa buku aktiviti dan sejadah ini mempunyai karakter Omar & Hana yang berbahasa Melayu. Kami yakin bahawa kami telah menghasilkan sesuatu yang istimewa buat kanak-kanak di Malaysia.” katanya.

Sinan pula berkata: “Apabila saya berjumpa Kamal di UK pada 3 tahun lalu, saya berasa teruja apabila mengetahui Kamal menghasilkan sesuatu yang interaktif dan menyeronokkan untuk pembelajaran solat bagi kanak-kanak. Pada saat itu, saya tahu Omar & Hana adalah karakter yang sesuai dan alhamdulillah, sejadah interaktif Omar & Hana kini sudah berada di pasaran.
“Kami sangat berharap ibu bapa dan anak-anak akan mendapat kebaikan daripada kolaborasi ini. Kebaikan di dunia dan di akhirat. Insha Allah,” katanya.
Sejadah interaktif ini dijual pada hujung Ogos lalu dan Anafiya MY dilantik sebagai ejen jualan. Orang ramai dan ibu bapa boleh membelinya melalui laman sesawang di https://anafiya.my pada harga RM299 (tidak termasuk kos penghantaran).

- Kafebuzz.my

