10/06/2026

Kafebuzz

Portal hiburan komprehensif

Forum Kandungan galak pempengaruh manfaat pengaruh, bertanggungjawab dan tidak dieksploitasi

3 min read

Peranan warga pempengaruh media sosial atau lebih dikenali sebagai ‘influencer’ membentuk pendapat umum semakin ketara terutama dari aspek tingkah laku pengguna.

Ini selari dengan capaian mereka yang luas serta hubungan langsung yang dibina dengan pengikut mereka. Hasil tinjauan sebuah kaji selidik oleh Statista dan Rakuten Insight pada Oktober tahun lepas meliputi 8,182 orang warganegara Malaysia, 59 peratus daripada jumlah responden didorong membeli sesuatu produk kerana ianya disokong oleh pempengaruh.

Walau bagaimanapun, kebelakangan ini terdapat peningkatan jumlah kes membimbangkan di mana pengikut diperdaya pempengaruh melalui produk yang dipromosikan. Malah, ada juga pempengaruh terlibat secara langsung dalam penipuan atau scam.

Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (Forum Kandungan atau CMCF) dalam satu kenyataan media menyatakan kes-kes tersebut merangkumi pelbagai jenis penipuan seperti paparan iklan berbayar yang menyamar sebagai perkongsian ikhlas ataupun promosi produk kesihatan dan kecantikan yang diragui.

“Adalah jelas bahawa tingkah laku tidak beretika oleh pempengaruh boleh memberi kesan buruk bukan hanya kepada pengguna tetapi juga boleh mengancam industri ‘influencer’ secara keseluruhan.

“Sehubungan itu, Forum Kandungan percaya bahawa kawal selia kendiri adalah cara terbaik untuk mewujudkan persekitaran dalam talian yang sihat untuk pencipta kandungan (‘content creator’) dan juga pihak pengguna. Kod Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (Kod Kandungan) merupakan sumber rujukan terbaik bagi amalan kawalselia kendiri,” katanya.

Kod Kandungan tersebut dirangka Forum Kandungan pada 2004 yang mengandungi garis panduan mengenai amalan terbaik dan piawaian etika untuk kandungan dalam ruang digital. Kejujuran dan kebenaran adalah asas utama garis panduan Kod Kandungan untuk iklan.

Selain mengelakkan tuntutan palsu, mengelirukan atau ditokok tambah, apa jua testimoni yang diberi haruslah tulen dan berkaitan pengalaman sendiri pempengaruh setelah menggunakan produk atau perkhidmatan berkenaan.

Pengarah Eksekutif Forum Kandungan, Mediha Mahmood berkata pempengaruh memiliki pengaruh sosial dalam komuniti mereka dan kepercayaan merupakan tunggak.

“Pempengaruh yang tidak mendedahkan bahawa produk yang disyorkan mereka adalah sebenarnya iklan berbayar, menidakkan hak pengguna membuat pilihan berdasarkan maklumat tepat. Pengguna mungkin tidak sebegitu yakin melakukan pembelian sekiranya mereka tahu pempengaruh dibayar untuk membuat kenyataan atau testimoni yang dikongksikan,” katanya.

Tambahnya, kawal selia kendiri juga boleh membantu pempengaruh mengelakkan kesan negatif yang mungkin timbul dari pendedahan amalan yang tidak bertanggungjawab.

“Pempengaruh haruslah berhati-hati kerana hanya satu kesilapan sahaja boleh memberi kesan buruk terhadap segala usaha mereka selama ini. Ia boleh mencemarkan nama baik mereka selain mengakibatkan kehilangan mata pencarian sekaligus menjejaskan masa hadapan mereka dalam bidang ini.

“Memastikan bahawa sesuatu promosi boleh dikenal pasti sebagai promosi berbayar sememangnya ditetapkan sebagai satu syarat dalam hampir semua pasaran di dunia – berdasarkan prinsip asas ketelusan dan akauntabiliti,” katanya.

Ujarnya, memandangkan pempengaruh kini memainkan peranan penting dalam strategi pemasaran dan strategi pencapaian (‘outreach strategies’), Mediha berpandangan kawal selia kendiri dapat melindungi para pempengaruh daripada diperdaya oleh segelintir pengiklan yang berniat untuk melanggar peraturan pengiklanan. Di samping itu, ia juga dapat menggalakkan jenama-jenama untuk memanfaatkan kuasa pemasaran melalui kaedah mulut ke mulut (‘word-of-mouth’) tanpa menjejaskan kredibiliti kaedah ini.

“Kami menggalakkan pempengaruh untuk terus giat meluaskan pengaruh mereka dan berinteraksi dengan orang ramai. Namun begitu, mereka harus memahami bahawa kuasa dan pengaruh yang mereka miliki wajar dimanfaatkan dengan cara yang bertanggungjawab dan tidak dieksploitasi,” katanya.

Forum Kandungan kini sedang menjalankan runding awam di peringkat kebangsaan bagi mengumpulkan maklum balas masyarakat tentang cadangan meminda Kod Kandungan.

Antara pindaan yang dicadangkan adalah garis panduan yang menggalakkan pempengaruh untuk memberi makluman tentang promosi berbayar, dan juga meningkatkan perlindungan terhadap kanak-kanak bawah umur daripada dimanipulasi oleh pengiklan.

Orang awam digalakkan memberi maklum balas menerusi rundingan awam ini bagi memastikan Kod Kandungan versi 2021 mengambil kira keperluan dan kepentingan para pengguna. Untuk maklumat lanjut tentang rundingan awam ini, orang awam juga boleh layari laman sesawang Forum Kandungan.

  • Kafebuzz.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *