05/05/2024

Kafebuzz

Portal hiburan komprehensif

Mamat Khalid Bimbang Tiada ‘Roh’

1 min read

Terkenal dengan genre komedi, pengarah filem terkenal, Mamat Khalid akur apabila tidak dapat menjangka hasil filem terbaru arahannya kali ini, Usop Wilcha Meghonjang Makhluk Muzium.

Menurutnya, dia meluahkan pandangan itu kerana hanya bertindak sebagai pengarah dan tidak terbabit dalam kerja pasca produksi.

“Saya hanya terbabit sebagai pengarah dan menghormati keputusan Usop yang bertanggungjawab melakukan sendiri kerja pasca produksi,” katanya secara eksklusif kepada Kafebuzz.

Namun, dia juga bimbang jika filemnya tiada ‘roh’ tanpa pembabitannya dalam kerja pasca produksi sebagaimana filem arahannya sebelum ini.

Katanya, filem yang diterbitkan Usop kali ini masih menggunakan genre komedi yang mengambil konsep cerita filem popular Hollywood, Night At The Museum.

“Idea filem ini dihasilkan Usop selepas cerita Warewolf Dari Bangladesh dan saya fikir ia suatu yang menarik untuk dikongsi bersama penonton.

“Ada beberapa adegan ditokok tambah ketika di lokasi dan konsep meniru filem orang lain sebenarnya tidak memberi masalah asalkan ia disampaikan dengan cerita kita sendiri yang menonjolkan pahlawan Melayu,” katanya.

Mamat yang ditemui pada tayangan perdana filem berkenaan di e-curve, Mutiara Damansara hari ini menyatakan dia tiada masalah dengan tindakan Usop yang hanya mengambilnya sebagai pengarah sambil berharap penonton terus menyokong filem tempatan di pawagam.

Filem pertama terbitan Usop di bawah produksi Mountingboard Productions Sdn Bhd dan D Siney Production ini menampilkan Usop sebagai pelakon utama di samping Elizabeth Tan, Nasir Bilal Khan, Namron, Hitler Zami, Along Ezzendy, Farah Dhiya, Phyan Habib dan Kamarul Yusoff.

Ia akan ditayangkan di pawagam pada 3 September nanti.

– Kafebuzz.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *