18/05/2024

Kafebuzz

Portal hiburan komprehensif

Ahmad Idham dan Eizlan tidak lagi bersama Saifuddin

2 min read

Malam tadi, industri hiburan tempatan menerima berita ‘mengejutkan’ apabila dua ‘orang kuat’ industri ditamatkan kontrak perkhidmatan mereka dengan kerajaan.

Mereka yang sebelum ini dianggap wakil penggiat seni yang mendapat kepercayaan menteri duduk di jawatan khas dalam kerajaan diharapkan membawa lebih banyak perubahaan dan pencapaian pada industri kreatif negara.

Bagaimana, dua individu yang dimaksudkan iaitu Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri dan Datuk Seri Eizlan Yusof tidak lagi bersama bos mereka, Datuk Seri Saifuddin Abdullah di Kementerian Luar memberi bayangan sumbangan dua selebriti ini tidak lagi diperlukan.

Merujuk laporan Sinar Daily semalam, difahamkan penamatan kontrak kedua aktor itu dibuat dalam tempoh 24 jam. Dr Ahmad Idham dilantik sebagai Setiusaha Kebudayaan manakala rakan baiknya, Eizlan menjadi Penasihat Kreatif sejak 1 November tahun lalu.

Saifuddin sebelum ini pernah memberi penjelasan di Dewan Rakyat mengatakan pelantikan Dr Ahmad Idham dan Eizlan untuk berkhidmat bersamanya sebagai tugasan ‘khidmat negara’.

Tambahnya, penyertaan kedua-dua selebriti itu adalah seiring penggubalan kerangka dasar luar yang baharu. Malah, Dr Ahmad Idham yang meletak jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) berkhidmat dengan Saifuddin dengan memggunakan jawatan Pegawai Tugas-Tugas Khas sedia ada yang kemudian digunakan istilah Setiausaha Kebudayaan kepada Menteri Luar.

“Sebenarnya, beliau buat ‘national service’ kerana beliau meletakkan jawatan JUSA B dan turun ke jawatan Gred 54. Tidak ada kereta, pemandu, pejabat, mahupun pembantu… cuma ada bilik kecil sahaja sebelah pejabat saya.

“Manakala Eizlan Yusof yang saya lantik sebagai Perunding Kreatif kepada Menteri Luar Negeri, kita (kerajaan) tidak bayar beliau apa-apa gaji. Beliau betul-betul buat ‘national service’,” katanya seperti dilaporkan Astro Awani.

Sehingga kini mereka berdua belum membuat sebarang kenyataan atau komen di media sosial mengenai diri masing-masing tidak lagi bersama Saifuddin. Eizlan yang mempunyai 745,000 pengikut di Instagram manakala Dr Ahmad Idham seramai 105,000 pengikut.

  • Kafebuzz.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *