18/05/2024

Kafebuzz

Portal hiburan komprehensif

Nilai seorang kartunis, Komik bantu lelaki tak ‘hensem’ pikat gadis idaman

2 min read

Siapa sangka komik boleh beri impak pada sebuah perhubungan cinta yang didambakan.

Mungkin bagi kebanyakan, komik sekadar bahan bacaan hiburan. Namun, lain pula ceritanya apabila komik popular bertajuk Aku Dia & Volkswagen menyatukan hubungan cinta seorang lelaki yang memendam perasaan terhadap gadis idamannya.

Menurut kartunis komik tersebut yang lebih popular dikenali sebagai Kartunis Ubi, niat utama dia menjadi kartunis adalah bercerita dengan gambar dan tidak terlintas bahawa karyanya itu mampu memberi impak pada kehidupan orang lain.

“Tapi baru ni dapat satu PM. Katanya kerana cerita Aku Dia & Volkswagen tu dia bertemu jodoh dengan crushnya. Uishh… Terkejut jugak saya.

“Menurut empunya cerita, waktu kat universiti dia ada syok dengan satu awek yang cun (kata dia la…). Sedar dirinya tak hensem dan takde apa-apa, maka hasrat hatinya dipendamkan saja.

“Mereka tak pernah bercakap hatta bertegur sapa sekalipun. Malu dan rasa rendah diri buatkan si lelaki ni tak berani menegur.Semuanya berubah pada suatu hari ketika dia sedang lepak sorang-sorang di kantin sambil baca koleksi no 3 Aku Dia & Volkswagen yang baru dibeli,” katanya dalam satu status terkini di Facebook akaunnya.

Jelasnya, lelaki tersebut tidak menyangka gadis idamannya itu menegur dan bertanya di mana dia mendapat buku koleksi itu.

“Rupa-rupanya si gadis pun peminat tegar siri tersebut. Jadi sang hero pun bagilah gadis pinjam buku yang baru dibelinya tu. Dan dia juga menawarkan untuk bagi pinjam koleksi no 1 dan 2 juga pada si gadis.

“Dengan koleksi komik tu sebagai modal maka mereka selalulah berjumpa dan berbual selepas tu. Selalu bersua, barulah terasa bahawa mereka memang selesa dan serasi berdua.

“Dipendekkan cerita, mereka kini dah kawin dan ada 3 orang anak. Kira happily ever afterlah sekarang ni. Dia menulis PM kepada saya dengan niat nak berterima kasih dan jika ada kelapangan ingin ajak saya berbuka puasa dengan keluarganya nanti,” katanya.

Kartunis Ubi mengakui dia sebak seolah rasa macam mata kena bawang lepas baca mesej (PM) tersebut.

“Saya tak tahu nilai saya dalam dunia ini. Tapi saya baru tahu yang hasil kerja saya ada juga memberi manfaat dalam hidup seseorang. Dan mengetahui itu, saya adalah orang yang kaya dalam dunia ini,” katanya.

  • Kafebuzz.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *