Ustaz Bola kini di ZAYAN Valet
2 min read
Stesen radio Islamik moden, ZAYAN kini tampil dengan topik sukan dan gaya hidup sihat buat pendengar.
ZAYAN memperkenalkan personaliti baharu, Tajdid Hadhari (Hadhari) yang mengendalikan segmen ZAYAN Valet, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 3 petang hingga 7 malam melalui siaran udara dan di aplikasi SYOK.
Hadhari yang juga seorang peminat bola sepak memberi peluang kepada pendengar ZAYAN menikmati dan menyertai perbincangan tentang dunia sukan tanah air dan perkongsian topik gaya hidup sihat, menerusi ZAYAN Valet bersama Hadhari, termasuk segmen baru ZAYAN Fit, yang menampilkan tetamu undangan.
Dalam segmen ZAYAN Valet, pendengar juga boleh berhibur dengan segmen Tanya Ikhlas, di mana pendengar diberi kesempatan bertanyakan soalan dan berkongsi pendapat berkaitan topik yang dikupas.
Segmen Kaji Ngaji pula, sebuah sesi perkongsian bacaan ayat Al-Quran berserta terjemahan oleh Hadhari bersama pendengar.
Bagi segmen Valet Buzz, Hadhari akan membincangkan topik dan isu semasa yang tular bersama peminat.

Hadhari yang juga dikenali sebagai ‘Ustaz Bola’ di akaun YouTube miliknya, aktif menghasilkan kandungan digital berkaitan bidang sukan di akaun media sosial tersebut dan perkongsian ini turut disediakan menerusi ‘ZAYAN Valet’ yang memberi dorongan kepada pendengar ZAYAN untuk terus menjalani gaya hidup sihat dan kekal bersukan.
“ZAYAN terus menyediakan para peminat dengan kandungan yang relevan dan pelbagai. Kami teruja untuk memperkenalkan Hadhari kepada peminat kami, yang kini boleh menikmati perbincangan menarik tentang dunia sukan dan kekal aktif yang merupakan aspek penting seharian terutamanya semasa pandemik ini. Kami mengucapkan terima kasih kepada peminat kami atas sokongan mereka dan berharap mereka akan menikmati ZAYAN Valet yang baharu,” kata Pengurus Kandungan ZAYAN, Wan Syahrul Amry.
Hadhari seorang yang santai dan peramah pernah mewakili pasukan belia Perak pada tahun 2008 hingga 2009. Mula dikenali ketika menyertai sebuah rancangan TV realiti Islam dan merangkul naib juara pada tahun 2014, dia juga mempunyai pengalaman sebagai seorang hos dan penyampai radio sebelum ini.
Dalam bidang sukan, dia mempunyai lesen bimbingan FAM ‘D’ di bawah jurulatih, Hassan Sazali Waras (Jurulatih Belia Nasional FAM) dan menjadi jurulatih bola sepak remaja bermula tahun 2019 sebelum kini merupakan personaliti radio ZAYAN.
Ikuti ZAYAN Valet, pada setiap Isnin hingga Jumaat, jam 3 petang hingga 7 malam.
- Kafebuzz.my

