01/07/2026

Kafebuzz

Portal hiburan komprehensif

Showcase Lejen Ria imbau nostalgia bersama penyanyi popular

2 min read

Hujung minggu bagaikan sunyi tanpa persembahan nyanyian.

Buat julung kalinya, peminat berpeluang mengimbau nostalgia menonton artis kegemaran mereka dalam persembahan pentas menerusi program ‘Showcase Lejen Ria’.

Kumpulan rock terkenal, Wings membuka tirai persembahan untuk episod pertama, Showcase Lejen Ria. (Foto: Astro)

Ia adalah sebuah program hiburan terbaharu berkonsepkan konsert mini eksklusif bersama barisan penyanyi legenda dalam industri muzik tanah air yang akan menghiburkan penonton dengan rangkaian koleksi lagu popular masing-masing sekaligus bakal mengimbau nostalgia untuk setiap lagu yang pernah menjadi siulan ramai.

Lima penghibur ikonik dengan latar belakang genre muzik berbeza iaitu kumpulan Wings, Zamani & Ameng, Ella dan Anuar Zain bakal menggegarkan malam hujung minggu menerusi empat konsert mini yang akan berlangsung selama 90 minit dari Studio 1, Astro Bukit Jalil.

Zamani turut muncul dalam program Showcase Lejen Ria. (Foto: Astro)

Konsert mingguan eksklusif Showcase Lejen Ria akan dikendalikan sepenuhnya oleh selebriti versatil, Datuk AC Mizal selaku hos program yang akan mendalami perjalanan kembara seni serta pencapaian cemerlang barisan artis jemputan sepanjang pembabitan mereka dalam industri muzik.

Selain itu, pelbagai perkongsian pahit manis dan pengalaman berharga yang mungkin tidak pernah dikongsikan sebelum ini akan turut dicungkil menerusi program ini.

Ameng Spring tidak ketinggalan terbabit sama dalam program Showcase Lejen Ria. (Foto: Astro)

Rakaman program Showcase Lejen Ria akan bersiaran secara eksklusif pada setiap Ahad, jam 9 malam bermula 21 Mac 2021 menerusi saluran Astro Ria HD (104) dan Astro Ria (124) serta boleh distrim menerusi aplikasi Astro Go dan On Demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.

Kumpulan Wings akan membuka gelanggang episod pertama program ‘Showcase Lejen Ria’ pada Ahad ini. Kemudian disusuli dengan penampilan istimewa Zamani & Ameng untuk episod kedua (28 Mac).

Ratu Rock Negara, Ella pula akan beraksi dalam episod ketiga pada 4 April ini manakala penyanyi terkenal, Anuar Zain pula akan melabuhkan tirai program ini menerusi episod keempat (11 April).

Peminat kumpulan Wings jangan lepaskan peluang menyaksikan persembahan hebat mereka dalam siaran pada 21 Mac ini jam 9 malam di Astro Ria. (Foto: Astro)
  • Kafebuzz.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *