TV Alhijrah kekal stesen Islamik nombor 1
3 min read
TV AlHijrah kini berusia 13 tahun.
Stesen televisyen yang membawa konsep gaya hidup Islam dan kandungan kerohanian berimpak tinggi ini mencatat satu lagi pencapaian pada 1 Muharram 1445H iaitu 19 Julai 2023 dengan mengangkat tema Satukan Ummah Dengan Ilmu.
Sejak beroperasi pada tahun 2010, TV AlHijrah sentiasa menjadi stesen pilihan utama rakyat Malaysia yang inginkan kandungan penerbitan kreatif, berkualiti dan universal berlandaskan Islam, sesuai dan relevan untuk masyarakat tempatan dan antarabangsa.
Sempena sambutan ulang tahun ke-13 kali ini, TV AlHijrah beriltizam untuk terus kekal menjadi perintis kandungan Islamik kontemporari sama ada menerusi platform TV mahupun digital.
Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris berkata, TV AlHijrah memainkan peranan dalam menerbitkan pelbagai kandungan Islam yang bermanfaat yang menjadi rujukan penonton dan pada tahun ini usaha itu akan dipertingkatkan dengan penawaran program Islam pelbagai genre.
“TV AlHijrah akan memperkayakan penawaran kandungan Islam dalam pelbagai format dan genre serta mempelbagaikan kaedah penyampaian program secara berkesan. Justeru, suku ketiga dan suku keempat 2023 akan menyaksikan dua Program Modul Realiti impak tinggi akan menemui penonton setia kami iaitu Akademi Daie Muda YADIM dan Marhaban.
“Paling istimewa, sebagai buah tangan buat penonton untuk tahun ke-13, kami mengeluarkan buku Cinta Ilmu, Indahnya Hidup Beragama Dengan Ilmu yang diadaptasi daripada rancangan Cinta Ilmu, sebuah program bual bicara agama yang paling diminati di stesen kami. Semoga buku ini mampu menjadi rujukan yang relevan dan mampan bagi melahirkan umat Islam yang lebih berilmu dan berkualiti tinggi,” katanya dalam satu kenyataan media.

Menurutnya, beberapa program baru akan dhidangkan buat penonton seperti Waalaikumsalam bersiaran pada setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad jam 11.30 malam.
“Ia adalah program yang membawa penonton bermuhasabah diri, merenung dan menilai tindak tanduk seharian agar sentiasa mencari ruang untuk memperbetulkan kesilapan,” katanya.

Tambahnya, program bual bicara terkenal TV AlHijrah, Analisis juga berwajah baru bermula 31 Julai 2023 dengan kandungan yang lebih sarat dengan perbincangan dan kupasan isu-isu semasa di mana program ini bertukar waktu siaran pada setiap Isnin, jam 10 malam.
“TV AlHijrah turut mencatatkan pencapaian penonton iaitu peningkatan sebanyak 64 peratus berbanding tahun 2022. Malah, menjadi pilihan pada musim Ramadan 1444H dengan peningkatan tontonan sebanyak 140 peratus berbanding tahun lalu.
“Siri kejayaan demi kejayaan ini adalah penanda aras bahawa kami berada di laluan penyiaran yang benar. Kami juga diiktiraf sebagai pelopor penyebaran Islam melalui tiga anugerah yang dirangkul tahun ini iaitu Asia Excellence in Islamic & Multicultural Broadcasting di Jakarta, Indonesia; Anugerah Corporate Media Company of The Year-Malaysia di Majlis Anugerah The Middle East Prestige Awards 2022/23 dan Anugerah Perniagaan Terbaik Malaysia (MBBA2023) bagi kategori Program Tanggungjawab Sosial Korporat Terbaik,” jelasnya.
Bagi terus memanfaatkan ummah, TV AlHijrah juga menganjurkan Kempen Bincang Niaga Privilege. Kempen ini adalah usaha stesen ini untuk membantu menaik taraf masa depan usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) untuk menguasai pasaran ekonomi domestik dan bersaing di peringkat antarabangsa menerusi pakej pengiklanan mampu milik.

- Kafebuzz.my





