Terkandas di negara jiran, COVID-19 Band dedikasi Demi Cinta buat keluarga
2 min read
Bayangkan jika anda terkandas di luar negara dan tidak dapat pulang kerana pintu sempadan masih belum dibuka.
Ia pastinya suatu yang menyedihkan apatah lagi kerinduan terhadap keluarga makin membuak-buak.
Pengalaman tersebut dilalui 45 warga Malaysia yang terkandas di negara jiran, Singapura sejak lebih setahun lalu. Mereka sebenarnya bekerja di Kota Singa itu dan kemudian terkandas akibat pandemik COVID-19.
Di sebalik apa yang berlaku, rakyat Malaysia ini bernasib baik kerana mendapat tempat penginapan dan sepanjang Ramadan turut menerima pelbagai sumbangan untuk berbuka puasa serta bersahur.
Pengusaha hostel Gusti Bed & Breakfast Singapore, Audrey Musa tampil membantu golongan yang terkesan ini dengan memberikan kemudahan penginapan.
“Setahun mereka terkandas dan bulan puasa ini saya minta sumbangan buat sahur dan iftar mereka. Alhamdulillah murah rezeki mereka, ramai yang datang hantar makanan.
“Ramai rakyat Singapura yang bersedekah. Saya ada juga memohon daripada Singapore Malay Chambers Association,” katanya kepada Kafebuzz.

Jelasnya, rakyat Malaysia yang menginap di hostelnya bekerja dalam pelbagai sektor seperti sebagai tukang masak dan tukang cuci.
“Mereka semua bekerja dan tidak boleh balik kerana jika balik kena bayar kos kuarantin. Setahun berlalu, mereka semua sudah macam sebuah keluarga,” katanya.

Dalam melalui kehidupan seharian, empat daripada rakyat Malaysia terbabit mendapat ilham untuk mencipta sebuah lagu khusus untuk berkongsi pengalaman hidup mereka ketika berdepan COVID-19.
Menggelarkan diri mereka sebagai COVID-19 Band, mereka menghasilkan lagu berjudul Demi Cinta yang dimuat naik menerusi platform YouTube sejak sebulan lalu.

Dianggotai Khai selaku vokalis, Daus (gitar/vokal), Faiz (gitar) dan Ipan (dram), muzik video tersebut turut memaparkan gambar-gambar mereka melalui kehidupan di perantauan antaranya gambar mereka melakukan solat berjemaah di hostel yang menjadi penginapan sementara sejak setahun lalu dan menyelitkan gambar keluarga yang dirindui.
Meskipun nama kumpulan ini masih baharu dan tidak dikenali khalayak, nama kumpulan COVID-19 Band mungkin suatu yang dianggap unik.
Judul: Demi Cinta
Lirik
Demi cinta, kasihku..
Ku korbankan segala galanya..
Jiwa dan raga ku beri demi,
Cinta suci ku terhadap mu…
Demi cinta, kasihku…
Tak Kan ku biar Kan kau derita,
Moga Kau tahu betapa tulus,
Sucinya cinta ku terhadap mu…
Demi cinta.. hoo… woo…
Demi cinta… hoo… woo…
Korus
Sayang… kau beri harapan…
Yang meyakinkan di jiwa..
Di Lubuk di sanubari ku…
Oh kasih…
Ku sunyi Tanpa mu..
Hati resah, gelisah..
Tak terdaya menanggung rindu…
Hati resah gelisah…
Tak terdaya menanggung rindu…
(Solo guitar)
Ulang korus..
Kumpulan: Covid19 Band
Ahli kumpulan: Firdaus, Khai, Faiz, Irfan
Ciptaan Lagu/Lirik: Hadzil@As/ Firdaus
Produser: Mahathir Mustafa
– Kafebuzz.my

