Tengku Permaisuri Norashikin puji The Cloth Concert berjaya gabungkan artis popular bersama pereka fesyen ternama
3 min read
Sudah agak lama peminat tidak menyaksikan persembahan Jari.
Mungkin generasi baru termasuk artis muda sendiri tidak kenal siapa Jari. Namun, kehadiran Jari atau nama sebenarnya Jaffar Abd Rahman @ Idris yang beraksi dengan tiupan saksofonnya sambil diiringi peragaan fesyen ciptaan Sharifah Kirana cukup memukau penonton yang hadir menyaksikan The Cloth Concert.
Program amal anjuran Persatuan Veteran RTM (PVRTM) dengan kerjasama Radio Televisyen Malaysia (RTM), Majalah WM (www.majalahwm.com) dan B’York KL ini berlangsung dalam suasana meriah di IOI Grand, IOI City Mall, Putrajaya, baru-baru ini.

Kira-kira 1,000 penonton termasuk tetamu diraja Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin bertepuk gemuruh setiap kali menikmati persembahan lapan artis popular sambil diiringi peragaan fesyen tradisional dan moden rekaan 21 pereka ternama termasuk Zang Toi yang kini berpangkalan di Amerika Syarikat.
Tokoh industri muzik, Datuk Aziz Bakar berkata gabungan persembahan artis ternama dan pereka tempatan yang terkenal di dalam dan luar negara seperti Zang Toi sangat luar biasa dan patut diteruskan pada masa akan datang.
“Persembahan ini sudah pasti dapat meningkatkan industri hiburan dan fesyen kita serta membawa ciptaan fesyen dan fabrik kita ke peringkat global,” katanya dalam satu kenyataan media.

Lebih 100 fesyen timur dan barat ciptaan 21 pereka termasuk Datuk Tom Abang Saufi, Rizman Ruzaini, Huda Hassan, Calvin Thoo, Wan Bynun, Salikin Sidek, Yani Bakhtiar, NinabNina, Syahrir Nurdin, Carven Ong (pereka busana filem Hollywood, Crazy Rich Asians), Melinda Omar (Melor), Persatuan Pereka Bumiputera Malaysia (MBDA) diwakili oleh pereka fesyen yang diterajui oleh Presidennya Rasta Rashid, bersama Hasfitri Yusof, Maswira Majid, Anas Abdullah, Rizal Latif, Kalima dan Amaratpal Donnie.
Rekaan Zang Toi diperagakan oleh 24 peragawati termasuk pelakon Datin Seri Maria Farida yang terkenal sebagai model sebelum terjun ke dunia lakonan.
Program yang berlangsung selama dua jam dihoskan bekas penyampai Radio 4 RTM, Datuk Yasmin Yusoff itu menyaksikan Maria yang sudah lama meninggalkan bidang peragaan fesyen kelihatan begitu anggun menggayakan fesyen ciptaan Yani Bakhtiar dengan iringan lagu nyanyian Datin Alyah.

Begitu juga, penyanyi kegilaan ramai wanita iaitu Anuar Zain menjadi tumpuan peminat termasuk dari Singapura yang turut menyanyi bersama-samanya apabila beliau mengiringi peragaan fesyen rekaan Zang Toi, Carven Ong dan Rizman Ruzaini.
Tidak ketinggalan, penyanyi popular Ning Baizura bersama Stacy, Datin Alyah, Noryn Aziz, Azlina Aziz dan MimiFly turut meriuhkan dewan dengan vokal mereka yang mantap terutama Azlina Aziz yang masih mengekalkan suara seperti mula-mula muncul dalam arena seni suara hampir empat dekad lalu.
Matlamat penganjuan The Cloth Concert yang akan disiarkan oleh RTM pada November depan bagi mengumpul dana Tabung Kebajikan PVRTM turut menerima pujian Tengku Permaisuri Norashikin yang juga penaung diraja persatuan itu.
Sewaktu bertitah, baginda berharap dana yang dikumpul menerusi tabung itu dapat digunakan dan diagihkan sebaik mungkin secara telus dan adil demi membantu serta meringankan beban ahli-ahli PVRTM yang benar-benar memerlukan.

Presiden PVRTM, Zohara Gany Bathusha pula berkata persatuan itu akan terus berusaha melaksanakan program yang dapat mengumpul dana bagi mengisi tabung kebajikan untuk meringankan beban ahli.
“Salah satu usaha ke arah itu ialah melancarkan skim insurans kesihatan untuk ahli yang sakit atau ditimpa kemalangan yang memerlukan kos rawatan yang tinggi. Insya-Allah perbincangan awal telah kami lakukan dengan sebuah agensi insurans. Jika segalanya dipersetujui, ia mungkin akan dapat direalisasikan pada suku pertama tahun hadapan.
“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Majalah WM kerana membantu mengumpul pereka fesyen terkenal lama dan baharu untuk menyertai program ini. Juga kepada B’York KL pimpinan Syeba Yip yang berpengalaman dalam penganjuran pertunjukan fesyen. Tidak lupa kepada supermodel Malaysia, Tinie yang turut membantu menguruskan peragawati pada persembahan ini,” katanya.
- Kafebuzz.my

