Tahniah Annuar Musa dan Zahidi, bantulah penggiat seni
2 min read
Industri hiburan dan kreatif tempatan hari ini menerima berita gembira pelantikan Tan Sri Annuar Musa sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia yang baharu.
Pelantikan Annuar itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang disiarkan secara langsung di TV pagi ini. Portfolio Annuar yang menerajui Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dibantu Timbalannya iaitu Datuk Zahidi Zainul Abidin.
Annuar yang merupakan Ahli Parlimen Ketereh mempunyai pengalaman luas dalam politik dan pentadbiran kerajaan sebelum ini dan pernah memegang portfolio sebagai Menteri Wilayah Persekutuan.
Zahidi pula menjawat kembali kedudukan yang sama di KKMM sebelum ini. Pastinya gandingan dua individu berpengalaman luas dalam pentadbiran kerajaan sebelum ini diharap dapat membantu penggiat seni dan memajukan industri hiburan dan kreatif tempatan.
Apa yang diharapkan penggiat seni adalah sektor penggambaran kembali dibuka seperti biasa agar golongan ini dapat bekerja semula untuk meraih pendapatan bagi meneruskan kelangsungan hidup.
Dalam ucapan Perdana Menteri hari ini, beliau menekankan barisan Kabinet yang dibentuk hari ini merupakan pasukan pengurusan yang akan bekerja bersama rakyat. Kabinet ini perlu bertindak pantas dan bersepadu dalam usaha membebaskan Malaysia daripada ancaman pandemik COVID-19, kegawatan ekonomi serta kekusutan politik.
“Umum mengetahui saya menerima kerajaan ini dalam keadaan seadanya. Justeru, pembentukan Kabinet ini merupakan satu formulasi semula berdasarkan situasi semasa, demi mengekalkan kestabilan dan meletakkan kepentingan serta keselamatan Keluarga Malaysia lebih daripada segala-galanya,” katanya.
Menurutnya, beliau akan memastikan barisan Kabinet komited menjayakan agenda negara, melalui jalinan kerjasama rentas parti bagi memacu pemulihan ekonomi demi kesejahteraan rakyat.
“Barisan Kabinet ini dipilih daripada kombinasi mereka yang berpengalaman, diyakini mampu membantu negara memulihkan ekonomi dengan menyokong usahawan, memudah cara perniagaan, dan merancakkan semula aktiviti ekonomi serta meningkatkan keyakinan pelabur.
“Bagi mendepani cabaran semasa, Kabinet ini perlu berorientasikan hasil yang berlandaskan kepada tiga prinsip iaitu peka dengan keperluan semasa, bertanggungjawab dan amanah serta mengembalikan semula keyakinan rakyat,” katanya.
Ujarnya, barisan Kabinet ini juga mengambil pendekatan baharu yang bersifat lebih terbuka, dengan menyantuni aspirasi Keluarga Malaysia melalui penyampaian perkhidmatan dan maklumat yang lebih efisien.
“Saya akan pastikan Kabinet ini menekankan budaya kerja berprestasi tinggi. Justeru, setiap kementerian perlu membuat perancangan jangka pendek dan jangka panjang serta mencapai sasaran yang ditetapkan. Untuk itu, setiap kementerian perlu membuktikan pencapaian awal dalam tempoh 100 hari pertama,” katanya.
- Kafebuzz.my

