13/05/2024

Kafebuzz

Portal hiburan komprehensif

Bakal Menteri Komunikasi dan Multimedia harus ambil tahu isu dibangkitkan persatuan penggiat seni

2 min read

Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) mengharapkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9 dapat memberi sinar baharu kepada negara dalam pembangunan ekonomi, sosial dan politik yang lebih sihat serta produktif.

Presiden FDAM, Dr Ahmad Ibrahim berkata, dalam berdepan cabaran pandemik COVID-19 yang masih berleluasa, FDAM turut mengharapkan Ismail Sabri dapat memberi fokus pada isu yang berlaku dalam industri kreatif dan perfileman tanah air.

“Untuk pengetahuan Datuk Seri, masih ramai penggiat seni yang menderita ketika ini iaitu hidup susah kerana tidak dapat bekerja akibat Prosedur Operasi Standard (SOP) yang membataskan penggambaran projek baharu diteruskan terutama bagi kawasan dibawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 1,” katanya dalam satu kenyataan media.

Presiden FDAM, Dr Ahmad Ibrahim sentiasa peka terhadap masalah ahli dan penggiat seni terutama ketika pandemik COVID-19.

Menurutnya, dalam membantu penggiat seni dan merencana hala tuju industri kreatif dan perfileman tempatan lebih berdaya saing, FDAM bersama Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA) dan Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) mencadangkan individu yang akan dilantik sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia yang baharu seharusnya mempunyai ciri pemimpin mesra rakyat iaitu memahami masalah penggiat seni secara komprehensif termasuk mengambil tahu isu dibangkitkan persatuan penggiat seni tanah air.

“Sebagai makluman pada Datuk Seri, persatuan penggiat seni seperti FDAM, PROFIMA dan SENIMAN memainkan peranan penting dalam mendengar keluhan penggiat seni yang mengharapkan persatuan sebagai platform menyuarakan rintihan mereka agar disampaikan kepada pihak kerajaan.

“Bagaimanapun, nasib dan kebajikan penggiat seni gagal diperjuangkan jika Menteri Komunikasi dan Multimedia sendiri tidak mengambil peduli pada isu yang dibangkitkan persatuan penggiat seni tanah air,” katanya.

FDAM menjadi persatuan penggiat seni yang gigih turun padang membantu ahli termasuk bukan ahli menerusi bantuan bakul makanan dalam program ResQ Anak Seni FDAM baru-baru ini.

Tambahnya, fungsi persatuan penggiat seni sebenarnya sangat penting dalam menyampaikan maklumat industri kepada kerajaan selain berkongsi idea dalam penambahbaikkan dan pembangunan industri kreatif serta perfileman tempatan.

“FDAM bersama PROFIMA dan SENIMAN serta 15 persatuan penggiat seni dan badan bukan kerajaan (NGO) yang menyokong FDAM di bawah Gabungan Persatuan Seni Kreatif yang mempunyai ahli seramai 30,000 di bawah sokongan dan dokongan FDAM tetap dan sentiasa menyokong Datuk Seri sebagai Perdana Menteri Malaysia memilih calon yang layak sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia yang baharu.

“Semoga industri kreatif tempatan terus maju di bawah pemerintahan Datuk Seri dan barisan Kabinet baharu yang akan dilantik dan paling penting, penggiat seni dapat kembali bekerja secepat mungkin dan kebajikan mereka dibela,” katanya.

  • Kafebuzz.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *