03/04/2026

Kafebuzz

Portal hiburan komprehensif

Skim Perubatan MADANI percuma kepada penerima Sumbangan Tunai Rahmah

2 min read

Bermula 15 Jun 2023, Skim Perubatan MADANI, satu inisiatif perintis oleh Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Kesihatan Malaysia dilancarkan kepada kumpulan B40.

Ia membabitkan 10 daerah iaitu Johor Bahru (Johor), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Klang, Petaling, Hulu Langat dan Gombak (Selangor), Kinta (Perak), Timur Laut (Pulau Pinang), Kuching (Sarawak) dan Kota Kinabalu (Sabah).

Taklimat dan penglibatan bersama Pemimpin Komuniti Kuala Lumpur dengan kerjasama Yayasan Wilayah Persekutuan. (Foto: ProtectHealth)

Menurut satu kenyataan media ProtectHealth Corporation Sdn. Bhd. (ProtectHealth), skim ini menyediakan Rawatan Pesakit Luar Kes-Kes Akut secara percuma kepada penerima Sumbangan Tunai Rahmah di mana golongan berpendapatan rendah boleh mendapatkan rawatan di klinik perubatan swasta (GP) yang berdaftar di bawah Skim Perubatan MADANI.

ProtectHealth yang bertindak sebagai pelaksana skim ini giat menjalankan aktiviti promosi dalam memastikan penerimaan yang meluas dalam kalangan penerima Sumbangan Tunai Rahmah.

Sejak skim ini diperkenalkan, ProtectHealth secara proaktif mengadakan sesi libat urus dengan wakil-wakil negeri yang berkaitan, agensi-agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), pertubuhan-pertubuhan serta pemimpin-pemimpin komuniti di seluruh negara seperti Yayasan Wilayah Persekutuan, FELDA, FELCRA, PERTIWI, PERPEKLI, UNI-MLC dan MySejahtera.

Penglibatan komuniti di Daerah Gombak, Selangor. (Foto: ProtectHealth)

Sehingga Julai 2023, ProtectHealth mengadakan taklimat kepada 70 Klinik Kesihatan (KK) dan 186 GP di 10 daerah ini.

Pada masa sama, enam taklimat diadakan kepada Persatuan Penduduk PPR/PA dan komuniti setempat yang mempunyai kepadatan penduduk B40 yang tinggi antaranya, PPR Pangsapuri Sri Kasih, PPR Taman Kajang Sentral dan PPR Taman Medan Jaya.

Tumpuan utama sesi libat urus ini adalah untuk meningkatkan kesedaran tentang manfaat skim ini dan usaha kerajaan untuk meningkatkan akses kepada perkhidmatan rawatan primer akut di sektor swasta bagi golongan berpendapatan rendah.

Sehingga 1 Ogos 2023, jumlah GP yang berdaftar untuk skim ini melebihi 600 buah klinik dan dijangkakan jumlah klinik-klinik swasta ini akan meningkat di masa akan datang.

Penglibatan komuniti dengan kerjasama PERTIWI di Pusat Khidmat Gelandangan Medan Tuanku, Chow Kit, Kuala Lumpur. (Foto: ProtectHealth)

Sehingga kini, lebih daripada 28,000 isi rumah B40 telah mendapatkan rawatan di bawah Skim Perubatan MADANI.

Skim ini juga sedang dalam perancangan untuk diperluaskan ke daerah-daerah lain seperti Kota Bharu, Pasir Mas (Kelantan), Kuala Terengganu, Kuala Nerus (Terengganu), Kuantan (Pahang), Melaka Tengah (Melaka), Seremban (Negeri Sembilan), Kota Setar, Kuala Muda (Kedah), Seberang Perai Tengah (Pulau Pinang) dan Perlis.

Penerima yang layak menerima manfaat skim ini hanya perlu membawa kad pengenalan mereka ketika mendapatkan rawatan.

Orang ramai boleh melayari www.protecthealth.com.my/skimperubatanmadani untuk menyemak kelayakan dan senarai klinik panel atau hubungi 03-8687 2525.

Penglibatan komuniti di Kinta, Perak. (Foto: ProtectHealth)
Penglibatan komuniti di Kajang, Selangor. (Foto: ProtectHealth)
  • Kafebuzz.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *