Sinema kini di Bernama TV dan YouTube FINAS
1 min read
Program majalah TV bersiri berkonsepkan ‘infotainment’ iaitu Sinema kini boleh ditonton secara eksklusif di saluran Bernama TV bermula 20 Mac 2021.
Dalam satu kenyataan media, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) turut merakamkan penghargaan di atas kerjasama strategik pihak Bernama yang menyediakan slot tayangan ini.
“Kerjasama di antara FINAS dan Bernama ini tentunya memberi lebih aksesibiliti kepada khalayak bagi menonton penerbitan kandungan kreatif kerajaan di pelbagai platform,” katanya.

Sinema yang bersiaran selama 30 minit pada setiap Sabtu di saluran Bernama TV dan Ahad di YouTube FINAS Malaysia menampilkan pengacara baharu yang juga seorang pelakon, Natasha Charmaine.
“Objektif penerbitan Sinema oleh FINAS ini adalah sebagai medium komunikasi visual kepada khalayak bagi menyampaikan informasi, aspirasi dan inisiatif kerajaan melalui Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dan FINAS.
“Selain itu, Sinema juga memberi skop liputan mengenai hal ehwal aktiviti industri perfileman serta para penggiat industri tempatan dan antarabangsa,” katanya.

Program Sinema terbitan FINAS boleh ditonton pada setiap Sabtu jam 8.30 malam di saluran Bernama TV (bermula 20 Mac 2021) iaitu di saluran ASTRO 502, Unifi TV 631, myFreeview 121, LIVE Facebook dan YouTube Bernama TV serta setiap Ahad jam 9 malam di saluran YouTube FINAS Malaysia (bermula 21 Mac 2021).
- Kafebuzz.my

