“Saya ingin sampaikan apa pemikiran arwah Datuk Abdullah Hussain, Kisah kita bukan kisah lain” – Mior Hashim Manap
3 min read
Tidak banyak filem kita mengangkat sejarah sesebuah bangsa.
Bagaimanapun, cabaran ini disahut pengarah terkenal, Mior Hashim Manap yang menghasilkan filem terbaharu berjudul Imam adaptasi daripada novel Imam karya Sasterawan Negara, Allahyarham Datuk Abdullah Hussain.
Mior berkata, tugasnya hanya ingin bercerita tidak lebih daripada itu yang bermaksud, apa yang ingin disampaikan ialah kisah masyarakat yang berlaku di negara ini.
“Novel itu sendiri membuka bermacam-macam tafsiran. Seorang Sasterawan Negara dengan karya yang hebat, jadi tak perlu lagi saya nak cuba lakukan sesuatu daripada situ. Saya ingin sampaikan apa pemikiran arwah Datuk Abdullah Hussain. Kisah kita bukan kisah lain,” katanya pada sidang media selepas Majlis Malam Gala Imam di Istana Budaya, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurutnya, isu agama yang berlaku dalam masyarakat Melayu menjadi fokus penceritaan yang mahu disampaikan dalam filem ini.
“Suatu ketika dulu kita berdepan masalah agama – orang agama dengan orang agama, orang politik dengan orang politik. Dalam masyarakat Melayu kita selalu ada masalah, itu yang ingin saya ceritakan tapi bukan itu mesejnya.
“Kalau anda nak mesej carilah di sebalik apa yang terjadi, kisah kita ini sampai sekarang masih berlaku. Mengambil latar tahun 1980 hingga 1983 di mana suatu ketika kita bertembung satu sama lain, baca khutbah tanpa teks berlaku, berebut imam berlaku, jumpa emas hingga kita lupa pada ibadah – itu semua cerita kita bukan cerita dibuat-buat, berlaku di sekeliling kita,” katanya.

Jelasnya, novel setebal lebih 700 muka surat mempunyai banyak isu termasuk watak lain seperti Cina Muslim dan India Muslim tetapi watak-watak itu tersebut tidak dimasukkan.
“Saya ingin bercerita tentang Haji Syamsuri (lakonan Faizal Hussain) dan Haji Mihad (Datuk M Nasir). Haji Mihad datang membawa pembaharuan dan malangnya orang kita bila ada pembaharuan timbul masalah, sukar kita nak terima pembaharuan. Sebenarnya itu pun tak selesai,” katanya.

Di sebalik mesej yang mahu disampaikan, Mior menafikan tanggapan jika ada lakonan dalam filem ini tidak sampai kepada penonton.
“Lakonan dari sudut kata bual dan reaction. Kadang-kadang kita sukar terima kata bual itu juga ialah reaction, bila kita kata reaction tidak ada kata bual. Sebenarnya dah ada di situ, apa lagi yang nak kita reaction kan.
“Kita suka membesar-besarkan benda yang remeh. Lakonan dan ceritanya mudah tapi kita remehkan dengan reaction kadang-kadang dibuat-buat. Pelakon saya ni otai, saya tak mengarah mereka kerana mereka tau apa yang mereka buat sebab mereka faham apa masalahnya.
“Saya tak kata kena buat macam ini, buat mimik macam ni, apa maksud mimik muka? tidak ada mimik muka dalam lakonan. Cerita ada action itu filem yang kita agungkan. Apabila Haji Mihad berkhutbah reaction makmum pun dah ada, adakah Haji Mihad perlu tunjuk lebih reaction, dia jeling dah cukup, sekilas pandangan dah cukup,” katanya.

Dalam filem kali ini, Mior turut menyelitkan teknik imej janaan komputer (CGI) pada babak akhir.
“Saya takut bercakap CGI, setiap filem perlu ada CGI. Yang saya nak sampaikan ialah kesannya itu bukan CGI. Apabila manusia rakus dalam kehidupan dan selalu bergaduh satu sama lain, Allah turunkan bala. Itu yang saya nak sampaikan. Itu lebih penting daripada CGI.
“Sebuah filem ialah suatu permikiran, saya tertarik dengan karya Sasterawan Negara, pemikirannya jauh ke depan. Itu yang cuba saya sampaikan, adakah pemikiran itu sampai atau tidak. Tapi kalau pemikiran itu tak sampai, salah saya.
“Kadang-kadang kita terlalu taksub dengan CGI dan set sampaikan kita lupa apa yang nak kita sampaikan. Ini cerita kita yang sampai sekarang kita masing berdepan dengan masalah-masalah ini,” katanya.

Selain M Nasir dan Faizal, Imam turut dibintangi oleh pelakon berpengalaman seperti Datuk Jalaluddin Hassan, Datuk Rahim Razali, Vanidah Imran, Sani Sudin, Omar Abdullah, Rahim Jailani, Natasha Charmine, Sophia Ibrahim, Noramin Mosyi Mosyi, Dewa Sapri dan Rasdi Daud.
Filem Imam terbitan Alkahfi Pictures ini sedang ditayangkan di pawagam bermula 2 Mac 2023.

- Kafebuzz.my

