18/05/2026

Kafebuzz

Portal hiburan komprehensif

Malaysia Book of Records iktiraf Ponniyin Selvan 2, MSK Cinemas pelan terbit filem Melayu pertama

3 min read

Filem Hindustan dan Tamil memang ramai peminat.

Begitu juga filem pecah panggung, Ponniyin Selvan 2 (PS2) yang mencuri perhatian khalayak di negara ini turut teruja menyaksikannya di pawagam. Apa yang menarik, filem arahan Mani Ratnam ini ditayangkan dalam format 4DX yang memberikan pengalaman sebenar pada penonton seolah berada dalam filem.

Pengarah MSK Cinemas Sdn Bhd, Saradha Sivalingam berkata, tayangan filem PS2 di negara ini mencipta sejarah menerusi format 4DX sehingga menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR).

“LYCA Productions dan MSK Cinemas Sdn Bhd berkongsi kegembiraan menerusi pengiktirafan Malaysia Book of Records kepada filem Tamil, Ponniyin Selvan 2 atas pencapaian Filem India Pertama Diedarkan Dalam Format Sinematik 4DX,” katanya dalam satu kenyataan media.

Saradha bersama suami menerima sijil pengiktirafan Malaysia Book of Records daripada Nazrul. (Foto: MSK Cinemas)

Majlis penyampaian sijil MBOR untuk filem tersebut berlangsung di Foyer, Aurum Theatre, The Gardens Mall (Mid Valley City), Kuala Lumpur, semalam dan sijil MBOR disampaikan Nazrul Hafizi.

“Filem PS2 ini merupakan filem yang membelanjakan kos produksi yang tinggi yang dibintangi artis popular Bollywood dan Kollywood seperti Aishwarya Rai, Jayam Ravi, Karthi, Trisha dan Vikram. Filem PS2 arahan Mani Ratnam ini diedarkan MSK Cinemas Sdn Bhd bagi tayangan di negara ini.

“MSK Cinemas berterima kasih kepada Lyca Productions iaitu Pengerusi, Subaskaran Allirajah dan pengarah filem ini Mani Ratnam atas pencapaian PS2 di Malaysia. Produksi Lyca Productions merupakan produksi terbesar di India yang banyak menerbitkan filem-filem hebat dengan bajet tinggi,” katanya.

Filem Ponniyin Selvan 2 masih ditayangkan di pawagam sejak 28 April 2023.

Tambahnya, bagi pengiktirafan MBOR adalah cerita pertama dari India yang ditayangkan dalam format 4DX di mana sebelum ini tidak pernah tayangan dalam format tersebut.

“Sebenarnya PS2 merupakan filem India pertama di seluruh dunia yang ditayangkan dalam format 4DX. Di Malaysia ada 4 lokasi yang menyediakan tayangan 4DX seperti di GSC IOI City Mall Putrajaya, GSC 1 Utama manakala GSC Mid Valley Southkey dan GSC Paradigm di Johor Bahru.

“Pengalaman menonton dalam 4DX suatu yang menarik dan mengujakan kerana ia umpama menaiki roller coaster sambil menikmati bunyi audio sekeliling, kerusi bergerak, ada efek seperti air dan asap,” katanya.

Saradha berpandangan menonton filem format 4DX seperti menaiki roller coaster. (Foto: MSK Cinemas)

Saradha memberitahu, daripada respons penonton PS2 sendiri, mereka sangat suka tonton filem ini dalam format 4DX sebab perasaan menonton filem itu berbeza dengan menonton filem lain di pawagam.

“Komen penonton, pengalaman menonton kali ini lebih penggembaraan. MSK Cinemas membawa lebih banyak filem dalam format 4DX selepas ini dan filem PS2 masih ditayangkan di pawagam sejak 28 April 2023.

“Filem PS2 berjaya mencatat kejayaan box office dengan kutipan sebanyak RM9 juta. Saya dan suami berhasrat menerbitkan sebuah filem Melayu yang boleh ditonton semua golongan dan bangsa,” katanya.

Presiden Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), Pansha (empat dari kiri) turut meraikan kejayaan filem Ponniyin Selvan 2. (Foto: MSK Cinemas)

Bagi Saradha yang juga seorang pengarah filem dan ahli Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), pelaburan sesebuah filem untuk dibuat dalam format 4DX suatu yang berbaloi meskipun harga tiket dua kali ganda tetapi kos produksi yang tinggi memberi pulangan untuk tayangan selama sebulan.

“Saya berharap suatu hari nanti Malaysia dapat menerbitkan filem Melayu atau filem tempatan seperti filem aksi dalam format 4DX,” katanya.

Filem Ponniyin Selvan 2 berjaya meraih kutipan sebanyak RM9 juta.
  • Kafebuzz.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *