“Saya boleh berbangga kerana sepanjang saya memimpin FINAS, tidak ada satu pun penerima dana gagal menyiapkan projek” – bekas CEO FINAS akui dapat notis 24 jam tidak selari konsep Malaysia MADANI
3 min read
Sepatutnya ada baki perkhidmatan selama 5 bulan.
Bagaimanapun, Profesor Dr Md Nasir Ibrahim ‘dipecat’ sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dalam tempoh 24 jam. Perkara tersebut berlaku pada 31 Mei lalu.
Dr Md Nasir mengesahkan beliau menerima surat penamatan perkhidmatan sebagai CEO FINAS yang berkuatkuasa pada 1 Jun 2023, pada 31 Mei 2023 jam 4.30 petang daripada Pengerusi FINAS, Datuk Kamil Othman.
“Tiada alasan yang diberi atas penamatan perkhidmatan saya kecuali arahan daripada YB Menteri, Fahmi Fadzil. Saya dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif FINAS pada 1 November 2021 dan dijangka berakhir pada 31 Oktober 2023.
“Penamatan perkhidmatan saya secara notis 24 jam agak memeranjatkan sebab saya tidak pernah dimaklumkan apa-apa salah laku yang telah saya buat. Sepanjang pengalaman saya sebagai penjawat awam lebih daripada 30 tahun, kebiasaannya tindakan menamatkan perkhidmatan dengan notis 24 jam adalah disebabkan oleh kesalahan jenayah ataupun terdapat isu integriti. Saya juga tidak dipanggil untuk bela diri ataupun memperjelaskan apa-apa isu,” katanya pada Sidang Media Mantan CEO FINAS yang diadakan di Ampang, Selangor, baru-baru ini.

Jelasnya, penamatan perkhidmatannya ini dianggap sesuatu yang tidak selari dengan konsep Malaysia MADANI yang menekankan kepada usaha secara bersepadu dan holistik untuk menjadikan segala dasar dan pelaksanaan di Malaysia lebih manusiawi yang sentiasa ditambah baik menerusi musyawarah.
“Sepanjang saya memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, saya telah bekerja tanpa had waktu dan hari demi memastikan industri perfileman negara kita dapat dipulihkan, khususnya selepas negara kita dilanda wabak COVID-19. Antara perkara yang menjadi tumpuan saya ialah untuk menstrukturkan FINAS supaya lebih berdaya saing dan dapat memberi perkhidmatan yang efektif dan efisien.
“Saya mempunyai visi menjadikan FINAS sebagai peneraju kecemerlangan industri perfileman negara ke peringkat global. Visi tersebut disokong oleh misi untuk membangunkan ekosistem industri perfileman kita supaya lengkap dan menyeluruh,” katanya.

Tambahnya, sepanjang 1 tahun 7 bulan beliau menggalas tanggung jawab sebagai CEO FINAS, beliau berjaya menarik produser luar dan tempatan melalui Film in Malaysia Incentive (FIMI) kira-kira RM1.04 bilion ringgit.
“Satu pencapaian yang belum pernah dicapai sebelum ini. Saya juga berjaya menstrukturkan semula pembahagian peratus pungutan tiket antara pempamer dan produser film. Begitu juga dengan pasaran filem ke luar negara, khususnya negara China.
“Usaha-usaha memastikan tadbir kelola dilaksanakan dengan penuh integriti, bertanggung jawab, dan berkesan turut menjadi keutamaan. Ketirisan dana dan penyalahgunaan kuasa menjadi fokus saya. Misalnya, kegagalan projek dari tahun 2015 hingga tahun 2019 oleh 47 syarikat dan individu yang bernilai kira-kira RM22 juta perlu disiasat dengan terperinci.
“Saya menyeru supaya SPRM menyiasat punca berlakunya ketirisan dana ini dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap individu yang terlibat. Wang cukai rakyat perlu dikembalikan dan sewajarnya semua penerima dana memanfaatkan dana yang diterima untuk menghasilkan filem yang berkualiti tinggi.
“Saya boleh berbangga kerana sepanjang saya memimpin FINAS, tidak ada satu pun penerima dana yang gagal menyiapkan projek mereka, tidak ada kronism, dan isu grantopreneur juga dapat diatasi,” katanya.

Dr Md Nasir juga menyatakan penghargaan kepada sokongan pihak media yang sentiasa memberi sokongan padu kepadanya.
“Begitu juga dengan semua warga FINAS yang faham dan komited tentang hala tuju yang saya bawa berlandaskan Plan Strategik FINAS, 2022-2027. Terima kasih juga kepada semua persatuan yang sentiasa memberi sokongan kepada saya iaitu persatuan-persatuan khususnya PFM, FDAM, PROFIMA, PTVM, YAVM, CCAM, PROMASTA, DCAM, GTA, Karyawan, POSTAM, MICEA, Karyawan Square, Pertubuhan Industri Alih Suara Malaysia, Persatuan Animasi Malaysia dan lain-lain termasuk individu yang sering membantu saya,” katanya.

- Kafebuzz.my

