RIUH Keluarga Malaysia himpun 12 cabang industri kreatif, tawar 5,000 peluang pekerjaan
3 min read
Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) menerusi agensi di bawahnya iaitu MyCreative Ventures (MyCV) membuka tirai tahun 2022, dengan penganjuran RIUH Keluarga Malaysia edisi pertama dengan “RIUH EK! bersama unifi” akan berlangsung pada 3 hingga 5 Mac 2022 di Arena Warna, Ayer Hitam, Johor.
Penganjuran acara tersebut menunjukkan kerajaan amat prihatin dan komited dalam memulihkan negara daripada masalah dan kesan pandemik COVID-19 termasuk dalam kalangan penggiat industri kreatif. Justeru, KKMM sedang giat melaksanakan pelbagai inisiatif untuk merancakkan kembali lanskap industri kreatif antaranya ialah melalui pelaksanaan RIUH Keluarga Malaysia yang merupakan cetusan idea Menterinya, Tan Sri Annuar Musa.
“Aktiviti seni kreatif mampu mengubati jiwa negara yang terkesan dengan pelbagai cabaran berikutan pandemik COVID-19. Sehubungan itu, KKMM mempelawa komuniti seni budaya untuk bekerjasama dengan Kementerian melalui RIUH Keluarga Malaysia agar industri kreatif negara dapat terus dirancakkan dan memberi manfaat kepada seluruh Keluarga Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan media.
RIUH Keluarga Malaysia bertujuan menghimpunkan usahawan kreatif dan penggiat seni tempatan daripada 12 cabang industri kreatif merangkumi muzik, filem, fotografi, animasi, seni persembahan, sastera, rekacipta, kraf dan seni tradisional, seni kulinari, seni visual, fesyen dan pendidikan kreatif. Inisiatif ini dijangka akan mewujudkan sekurang-kurangnya 5,000 peluang pekerjaan di 14 lokasi dan menyokong 2,000 penggiat dan perniagaan tempatan.
Ketua Pegawai Eksekutif MyCV, Junady Nawawi berkata, antara misi MyCreative adalah memperhebatkan daya tarikan industri kreatif Malaysia yang boleh diukur melalui peluang pekerjaan yang diwujudkan, meningkatkan sumbangan pendapatan daripada industri kreatif kepada pendapatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan melonjakkan status industri kreatif Malaysia melalui kesedaran awam dan kesan sosial.
“Oleh itu, penganjuran RIUH akan memberi impak kepada penggiat dan pekerja di dalam industri kreatif, dari segi penjanaan pendapatan industri, jumlah pekerjaan penggiat serta pekerja industri. Ini kerana kebanyakan usahawan, budayawan serta seniman dari pelbagai komuniti dijemput untuk turut serta acara RIUH di seluruh negara.
“Lagipun, acara di setiap negari akan berlangsung lebih daripada satu hari. Ini akan meningkatkan peluang penjualan usahawan tersebut yang membuka gerai di tapak RIUH. Kami mengharap bahawa rangkaian sosial dan profesional yang dihasil oleh program ini juga akan memupuk pengambilan pekerja serta perkongsian perniagaan di dalam industri kreatif. Secara langsung, ini berpotensi untuk memulihkan ekonomi masyarakat dan negeri Johor, amnya.” katanya.
Bertemakan ‘Warna-warni Malaysia’, “RIUH EK! bersama unifi” adalah terbuka kepada semua pengunjung terutama yang berada di sekitar Johor khususnya di Ayer Hitam. Para pengunjung akan merasai pelbagai tarikan termasuk barangan kreatif tempatan, persembahan seni dan muzik, bengkel kreatif, pameran seni, gerai ‘pop-up’, aneka makanan dan minuman serta banyak lagi untuk diteroka pengunjung.
Penampilan istimewa daripada kumpulan Search, Mafidz, LOKO, Statik, Hornbae, Orkes A Hizadin, persembahan gamelan, wayang kulit dan keroncong. Selain itu, pengunjung juga berpeluang menyaksikan pameran seni visual dan pyro show yang menakjubkan. Turut serta jenama kreatif tempatan tersohor antaranya Kopi Dua Darjat, Haos Ek?, Buttercup, Mikano Claytive, Senitukang, NayylaO’ dan BeauTyra.
MyCV menyasarkan lebih 10,000 pengunjung akan hadir sepanjang tiga hari penganjuran “RIUH EK! bersama unifi”. Sementara itu, RIUH Keluarga Malaysia yang bakal dianjurkan di 14 lokasi di seluruh negara menyasarkan 200,000 pengunjung.
Penganjuran RIUH Keluarga Malaysia akan dilaksanakan dengan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat bagi memastikan keselamatan kesihatan para pengunjung. Ini termasuk langkah-langkah terkawal seperti semakan status aplikasi MySejahtera untuk setiap pengunjung yang memasuki tapak RIUH, penjarakan sosial 1 meter dan penguatkuasaan Prosedur Amalan Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Imri Mokhtar pula berkata, menerusi jenama unifi, TM menawarkan penyelesaian digital bagi memperkasa pelbagai segmen pelanggan termasuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tempatan agar mereka dapat kembali pulih dan terus berkembang.
“Penglibatan dalam RIUH Keluarga Malaysia menggambarkan sokongan TM untuk menggiatkan semula industri kreatif dan membolehkan kandungan seni kreatif dinikmati oleh semua lapisan rakyat.
“Sebagai pemacu aspirasi Digital Malaysia, kami komited untuk menghubungkan seluruh rakyat Malaysia menerusi infrastruktur digital dan sentiasa bersedia untuk membantu negara bangkit semula daripada kesan pandemik,” katanya.
- Kafebuzz.my

