Promosi besar-besaran filem terakhir Ashraf Sinclair, Syaitan Munafik di Malaysia dan Indonesia
2 min read
Filem terakhir Allahyarham Ashraf Sinclair bakal menemui penonton pada bulan hadapan.
Penerbit filem Syaitan Munafik, Datuk Mohd Rosdi Shair berkata, filem terbitan syarikatnya iaitu United Nine Creative Sdn Bhd turut mendapat sokongan penggiat seni, penaja dan pihak media.
“Kami akan melaksanakan program promosi besar-besaran di Malaysia dan Indonesia agar filem terakhir lakonan Ashraf Sinclair ini mendapat liputan yang meluas bagi menarik seluruh penonton terutama peminat filem seram menontonnya. Saya berterima kasih atas sokongan rakan-rakan seperjuangan Allahyarham Ashraf. Ia juga bagi memperingati pemergiannya di Jakarta tiga tahun lalu,” katanya dalam satu kenyataan media.

Bagi tujuan promosi, Rosdi menyatakan sepuluh pelakon filem dan sinetron antaranya Dafina Jamasir, Loli Ismaya, Mayang Lucyana Fitri, Doddy Sudrajat, Vidya Ully, Derick Jordan dan Nadelyn bersetuju untuk datang ke Kuala Lumpur memeriahkan tayangan perdana filem itu dijadualkan pada 18 Disember depan.
Beliau turut memberitahu, satu perjanjian penajaan ditanda tangani bersama PT TransNusa Aviation Mandiri di Jakarta, Indonesia pada 8 November lalu.
Pada majlis tersebut, beliau yang juga Pengarah Urusan United Nine Creative mewakili syarikatnya manakala TransNusa Air diwakili oleh Pengerusi Eksekutifnya, Bayu Sutanto. Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif TransNusa, Datuk Bernard Francis dan Penerbit Penyelaras United Nine Creative, Ahmad Latifi.
Rosdi juga menghargai kesudian syarikat penerbangan itu menjadi penaja rasmi penerbangan untuk artis, media dan seluruh anggota penerbitan Malaysia dan Indonesia.
“Insya-Allah TransNusa akan memberi sokongan penuh terhadap acara pelancaran filem itu di Kuala Lumpur pada 18 Disember dan di Jakarta pada 14 Januari tahun depan,” katanya.
- Kafebuzz.my
- Foto: @officialashrafsinclair Facebook dan United Nine Creative



