02/04/2026

Kafebuzz

Portal hiburan komprehensif

PROFIMA tingkat standard ahli sebagai pakar industri bertauliah

3 min read

Bayangkan satu produksi Hollywood mahu mengadakan penggambaran di Malaysia dan mereka menawarkan peluang kepada kru produksi tempatan untuk bekerja.

Malangnya, ramai dalam kalangan kru produksi tempatan tidak layak atau dianggap tidak kompeten diambil bekerja dengan produksi antarabangsa kerana pekerja-pekerja filem ini tiada sijil kemahiran profesional. Justeru siapa yang harus dipersalahkan.

Bagi mengatasi masalah ini, Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA) mengambil langkah bekerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia untuk mengiktiraf ahli sebagai pakar industri yang bertauliah daripada kerajaan.

Presiden PROFIMA, Khalil Salleh berkata, PROFIMA menyasarkan seramai 21,000 ahli termasuk 5,000 ahli yang aktif mempunyai sijil kemahiran yang diiktiraf oleh kerajaan.

“Justeru, PROFIMA menjalankan usaha berterusan dalam memastikan semua penggiat filem yang mempunyai pengalaman kerja dalam skop tugas masing-masing turut menjadi pakar industri yang profesional dan berkemahiran tinggi disokong dengan sijil kemahiran profesional,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

PROFIMA mengadakan kunjungan hormat ke Kementerian Sumber Manusia. (Foto: PROFIMA)

Menurutnya, isu penggiat filem tiada sijil kemahiran menggusarkan PROFIMA kerana ianya akan memberikan gambaran bahawa sektor filem dilihat kekurangan individu yang pakar dan diiktiraf oleh pihak kerajaan melalui Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia.

“Usaha PROFIMA ini telah digerakkan sejak setahun lalu dan satu kunjungan hormat PROFIMA ke atas Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar diadakan pada 29 Mei 2023 bagi mengangkat isu penggiat filem tanpa sijil kemahiran profesional.

“Hasil daripada pertemuan tersebut, PROFIMA telah dijemput sekali lagi pada 8 Jun 2023 ke Jabatan Pembangunan Kemahiran bagi memperincikan isu pensijilan profesional dalam kalangan sektor penggiat filem. Mesyuarat kali pertama ini dibincangkan bersama-sama Ketua Pengarah JPK, Ts. Dr. Mohamad Sulaiman serta barisan pegawai kanan jabatan,” katanya.

Jelasnya, PROFIMA mencadangkan kerjasama lebih erat dengan JPK dapat dilakukan untuk membantu penggiat filem khususnya ahli PROFIMA mendapat pengiktirafan menerusi pensijilan profesional oleh kerajaan.

“Usaha ini juga penting dengan sokongan Perbadanan Kemajuan Filem Naisonal Malaysia (FINAS) kerana FINAS juga adalah peneraju industri perfileman yang berupaya mengiktiraf penggiat filem Malaysia.

“PROFIMA percaya adanya pensijilan oleh JPK melalui program Pencapaian Pengalaman Terdahulu (PPT) untuk sijil, diploma dan diploma lanjutan, penggiat filem akan diperakui kemahirannya menerusi pengalaman kerja,” katanya.

V Sivakumar (tengah) bersama Khalil (dua dari kiri) dan Ahli Majlis Tertinggi PROFIMA. (Foto: PROFIMA)

Tambahnya, kelebihan pensijilan profesional kerajaan ini adalah ia membuka peluang pekerjaan akan lebih luas khususnya apabila penggiat filem bekerja di luar negara untuk terbabit dengan produksi antarabangsa yang melakukan penggambaran di Malaysia.

“Pensijilan profesional ini juga memberikan ruang kepada PROFIMA untuk membantu pihak kerajaan dalam mengumpul data penggiat filem berkemahiran dan secara tidak langsung memberikan ruang kepada pekerja senior yang layak untuk mengajar kemahiran filem di kolej mahupun universiti serta memberikan pencapaian secara individu yang terbabit dalam industri filem.

PROFIMA akan menjadi peneraju industri filem dalam pensijilan profesional ini dan tiada masalah jika semua sektor pekerjaan filem sama ada pengarah, pelakon, produser dan pengurusan juga mahu menyertai semua program pensijilan ini kerana ianya sangat penting kepada industri perfileman bukan hanya terhad kepada penggiat filem sahaja,” katanya.

Khalil menambah, selepas ini PROFIMA akan mengadakan mesyuarat bersama antara JPK dan FINAS seterusnya akan menyusun gerak kerja dengan lebih teratur bagi mencapai matlamat menjadikan lebih ramai penggiat filem mendapat sijil pengiktirafan profesional hasil daripada kepakaran, pengalaman dan kerjaya mereka.

  • Kafebuzz.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *