02/04/2026

Kafebuzz

Portal hiburan komprehensif

Pertembungan dua imam, perjuangan Islam sebenar menerusi Imam dipertontonkan di TV

2 min read

Filem hebat, Imam adaptasi daripada novel Imam karya Sasterawan Negara, Allahyarham Datuk Abdullah Hussain kini menemui penonton di televisyen.

Bagi penonton filem tempatan, filem terbitan Alkahfi Pictures ini yang pernah ditayangkan di pawagam pada Mac tahun lalu akan disiarkan menerusi saluran TV AlHijrah  jam 9 malam ini.

Apa yang menarik perhatian ialah filem ini menampilkan barisan pelakon berpengalaman sebagai teraju utama seperti Datuk M.Nasir sebagai Haji Midad, Faizal Hussein (Haji Syamsuri), Vanidah Imran (Rubiah) dan Natasha Charmaine (Siti Nur Aisyah).

Plot filem ini berkisar kisah perjuangan Haji Midad yang ingin membawa kemajuan dan pembaharuan di kampungnya, Anggerik Desa.  Beliau berusaha untuk memperkukuhkan ukhwah masyarakat kampung tersebut bersandarkan ajaran Islam yang sebenar. Salah satu cabaran besar buat Haji Midad ialah mengimarahkan Masjid Haji Salih yang berada dalam keadaan kelam kabut dan tidak terurus.

Lakonan hebat Datuk M.Nasir sebagai Haji Midad.

Kisah bermula apabila Haji Midad yang sekian lama menghilangkan diri dan dikhabarkan sudah meninggal dunia dalam pertempuran di Kalimantan, secara tiba-tiba muncul di kampung itu. Kepulangan Haji Midad secara tidak langsung membawa sinar baru kepada segelintir penduduk kampung.

Haji Midad  dilantik menjadi Imam oleh penduduk kampung  bagi menggantikan imam lama iaitu Imam Haji Abdul Rahman. Namun, kepulangannya tidak disenangi oleh sepupunya sendiri, Haji Syamsuri yang sudah lama menginginkan jawatan Imam Masjid Haji Salih.

Aksi Faizal Hussein (tengah) sebagai Haji Syamsuri.

Haji Midad cuba membawa pembaharuan di masjid kampungnya. Tujuannya adalah untuk menarik minat pemuda kampung datang ke masjid. Jauh di sudut hatinya, dia mahu mengimarahkan dan mengembalikan kegemilangan peranan masjid seperti zaman Rasulullah SAW.

Bagi Haji Midad, masjid adalah pusat pendidikan, pusat sosial, pusat pemerintahan dan pusat dakwah. Haji Midad mula membersihkan kawasan masjid, menanam pokok bunga di sekitar masjid serta membina gelanggang sukan takraw dan badminton.

Namun tidak lama selepas itu, usaha Imam Haji Midad ditentang oleh sebahagian penduduk kampung. Bukan itu sahaja, dia dituduh membawa ajaran baru, ajaran ekstremis yang agak asing bagi penduduk kampung yang berakal jumud.

Pertembungan dua imam iaitu Haji Midad dan Haji Syamsuri menerusi filem Imam.

Ada di antara penduduk kampung membuat aduan kepada pihak berwajib sehingga mendapat perhatian pihak Majlis Agama. Haji Midad didakwa memberi khutbah pada hari Jumaat tanpa menggunakan teks yang disediakan oleh pihak Majlis Agama. Lantaran itu, dia  telah dipanggil untuk disoal siasat oleh pejabat Majlis Agama.

Keadaan menjadi semakin kelam kabut apabila perkhabaran adanya emas di sekitar kawasan masjid telah menyebabkan kehadiran penduduk kampung ke masjid berkurangan oleh kerana aktiviti melombong emas yang giat dilakukan. Apa yang menyedihkan Haji Midad ialah nyawanya turut terancam akibat hasad dengki Haji Syamsuri.

Tambah pula, percanggahan pendapat antara Imam lama iaitu Haji Abdul Rahman dan Imam Haji Midad  menyebabkan penduduk kampung menjadi berpuak-puak. Apakah kesudahan konflik yang terjadi di Kampung Anggerik Desa? Mampukah masyarakatnya bersatu, menyembah Allah yang Maha Esa serta mengamalkan ajaran dan sunnah Baginda Nabi? 

Jadi, jangan lupa untuk saksikan kesudahan filem Imam, jam 9 malam ini di TV AlHijrah. Penonton juga boleh menonton secara penstriman di aplikasi AlHijrah Plus.

  • Kafebuzz.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *