Perjuangan AMK FDAM 2021/2023 bersama Mat London diteruskan Afdlin Shauki
3 min read
Tahun 2023 hanya menghitung detik pastinya memberi banyak sejarah buat Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM).
Akibat 4 aduan yang dibuat ahli sendiri terhadap FDAM, persatuan itu berdepan kesulitan menjalankan operasi sehingga mendapat surat merah daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia bertarikh 7 Jun lalu.
Tarikh 15 September lalu menjadi tarikh keramat persatuan industri kreatif tertua itu dihidupkan semula selepas keputusan rayuan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) diluluskan dengan bersyarat. Pemangku Presiden, Datuk Zulkeflie M Osman pada masa itu bersama Ahli Majlis Kerja (AMK) berjaya menyelamatkan semula FDAM daripada terus ‘berkubur’.
Kejayaan ini suatu yang cukup bermakna dan meninggalkan jasa AMK FDAM penggal 2021/2023 bersama Allahyarham Dr Ahmad Ibrahim (Mat London) yang meninggal dunia pada 14 Julai lalu.

Perjuangan FDAM mewakili pengarah-pengarah filem termasuk drama, dokumentari dan filem pendek diteruskan apabila pengarah filem terkenal yang juga ahli iaitu Datuk Afdlin Shauki dipilih sebagai Pengerusi FDAM yang baharu bagi penggal 2024 hingga 2025.
Pemilihan Afdlin dibuat berdasarkan undian majoriti ahli yang hadir pada Mesyuarat Agung Dwitahunan FDAM Ke-25 yang berlangsung di Pawagam Mini P Ramlee, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Hulu Kelang, Selangor, baru-baru ini.
“Tanggungjawab sebagai Pengerusi FDAM suatu yang berat tetapi saya teruja untuk bersama rakan-rakan membawa suatu pembaharuan dan penjenamaan yang baharu supaya kita semua kembali berbangga memegang kad keahlian FDAM,” katanya.

Pada majlis tersebut, Afdlin menyatakan komitmen untuk membantu ahli-ahli persatuan ke tahap profesionalisme yang lebih tinggi dan menaikkan kembali imej FDAM yang tercalar sebelum ini.
“Masalah FDAM tidak dihormati, mungkin apa-apa yang dilakukan pihak sebelum ini, itu kita letak ke tepi tapi kita menjenamakan semua FDAM ini menjadi tunggak utama untuk pengarah-pengarah di Malaysia. Kalau nak jadi pengarah mesti kena ada FDAM dan mesti diiktiraf sebagai ahli FDAM,” katanya.
Menurutnya, penyertaan menjadi ahli FDAM juga terbuka pada pempengaruh digital agar mengambil peluang menimba ilmu dan pengalaman bersama FDAM dan ahli-ahli senior yang banyak pengalaman mengarah.
“Kita mendekati mereka kerana sekarang ini dunia ‘content’ ada di tangan mereka sebenarnya. Kita jangan sombong dan duduk dalam kepompong kita sebaliknya mesti membuka tangan kita menerima pembikin filem bebas tidak kira bangsa mahupun pergi ke mana saja agar kita sentiasa menyokong mereka dan akhirnya memperkasakan kembali filem-filem Malaysia yang menjadi objektif utama,” katanya.

Tambahnya, FDAM perlu sentiasa memikirkan manfaat pengarah yang menjadi ahli.
“Apabila ahli membayar yuran, FDAM mesti memikirkan apakah persatuan ini akan buat untuk mereka? Macam mana persatuan ini boleh menjaga ahli? FDAM mesti menjaga pengarah-pengarah kita.
“Kalau ada seseorang pengarah melakukan sesuatu yang baik dan membanggakan, kita sokong ramai-ramai dan kalau ada yang buat masalah, kita tegur ramai-ramai. Saya rasa kita perlu satu suara,” katanya.

Selain Afdlin, sembilan jawatan lain turut dipertandingkan iaitu Timbalan Pengerusi disandang oleh Khir Mohd Noor, Setiausaha (Haji Mohamad Zaini Hassan), Timbalan Setiausaha (Don Hoe), Bendahari (Loganathan Kanabathy), Timbalan Bendahari (Terry Chan) manakala 4 jawatan Ahli Jawatankuasa terdiri daripada Mohamed Faizal Syed Ariff, Faisal Chal Ahmad dan Muhammad Aiman Mohammad Zaki.
Elrafaei Sapi yang merupakan Ahli Majlis Kerja merangkap Timbalan Ketua Biro Komunikasi dan Media, AMK FDAM 2021/2023 turut dipilih semula untuk menggalas tanggungjawab sebagai Ahli Jawatankuasa bagi pemilihan baharu kali ini.
- Kafebuzz.my

