02/04/2026

Kafebuzz

Portal hiburan komprehensif

Penggambaran masih boleh dijalankan tapi di studio rasmi berdaftar

1 min read

Penggambaran ketika PKP 3.0 masih boleh dijalankan.

Bagaimanapun, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) memaklumkan aktiviti rakaman bagi penggambaran filem, drama, dokumentari, animasi, produksi muzik dan seumpamanya dibenarkan bagi rakaman dalaman di studio rasmi yang berdaftar dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sahaja bermula 25 Mei 2021 dari 8.00 pagi hingga 8.00 malam.

“Contoh studio rasmi yang disebutkan ialah seperti studio-studio FINAS, Studio Iskandar Malaysia, Studio Jelas Juta dan sebagainya. Aktiviti penggambaran yang dijalankan juga adalah dengan jumlah kru yang minima tanpa penonton serta perlu membuat permohonan Sijil Perakuan Penggambaran Filem Khas (SPP Khas) dan tertakluk kepada pematuhan SOP Industri Kreatif yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.

FINAS juga mengingatkan semua pihak mematuhi SOP yang ditetapkan oleh pihak MKN serta semua garis panduan meliputi protokol pencegahan penyakit dan sekatan, saringan kesihatan, pembersihan dan nyah kuman premis, penjarakan fizikal dan tatacara keselamatan pekerja serta tindak balas kecemasan.

Dalam pada itu, penggiat seni juga masih keliru dengan SOP FINAS terbaharu ini yang menyebut lokasi penggambaran yang dibenarkan adalah studio rasmi berdaftar.

Persoalan timbul mengenai jenis studio yang dibenarkan untuk penggambaran yang tidak termasuk dalam kategori studio rasmi yang berdaftar.

“Bagaimana nak semak studio berdaftar atau boleh ke daftar studio dengan FINAS,” ujar seorang pengarah filem.

Bagaimanapun, seorang lagi rakan pengarah tersebut menyatakan agar segala persoalan berkenaan diajukan kepada FINAS untuk mendapat kepastian.

FINAS dalam kenyataan media sama juga akan memaklumkan perincian SOP Industri Kreatif yang baharu pada 24 Mei ini.

  • Kafebuzz.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *