01/07/2026

Kafebuzz

Portal hiburan komprehensif

Pengarah Filem Malaysia jadi menti Bucheon International Fantastic Film School

1 min read

Pengarah filem kelahiran Sarawak, Ray Lee sekali lagi mengharumkan nama negara apabila terpilih sebagai seorang daripada 35 menti oleh Bucheon International Fantastic Film School (BIFAN).

Merujuk kenyataan media Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Ray menyatakan perasaan bangga menjadi satu-satunya wakil Malaysia dipilih untuk program itu di samping wakil-wakil dari 14 negara termasuk Amerika Syarikat, Vietnam, Singapura, India, Indonesia, Jepun, China, Filipina dan tuan rumah Korea Selatan.

“Saya terima tawaran ini dan berjanji akan menaikkan nama Malaysia.  Saya amat teruja menerima tawaran di Fantastic Film School yang memang pakar dalam genre filem seram dan ngeri,” katanya dalam hantaran Facebooknya.

BIFAN yang dikendalikan oleh Network of Asian Fantastic Films (NAFF) ialah program untuk pendidikan filem genre seram yang pertama di dunia.

Menurut kenyataan BIFAN, sesi ke-25 itu akan diadakan pada 8 hingga 14 Julai depan.

“Kelas akan dijalankan secara dalam talian menerusi pelantar Gather dan Clubhouse berikutan pandemik COVID-19,” kata kenyataan itu dalam laman sesawangmya.

Bertindak sebagai dekan untuk sesi BIFAN kal ini ialah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Hanmac Culture, Jonathan Kim yang telah menerbitkan lebih 30 filem termasuk Piano Man (1996), A Promise (1998) Silmido (2003), To Catch a Virgin Ghost (2004), Monopoly (2006) dan Jang-Gae: The Foreigner (2020).

Ray Lee yang juga ahli FDAM pernah memenangi anugerah pada Asian Cinematography Awards di Filipina dan Singapore World Film Carnival melalui filem Belaban Hidup.

Selain itu filemnya turut termasuk dalam senarai ‘Pemilihan Rasmi’ dan ditayangkan pada Russia International Horror Film Awards dan Macabo Mexico City International Horror Film Festival.

  • Kafebuzz.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *