02/04/2026

Kafebuzz

Portal hiburan komprehensif

Pemulih SiberKASA berjaya bantu 200 individu terkesan akibat COVID-19

2 min read

CyberSecurity Malaysia, pusat pakar teknikal keselamatan siber dan agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) mengadakan Majlis Pelancaran Pemulih SiberKASA OJT Kick-Off Day, baru-baru ini.

Program tersebut merupakan sesi latihan di tempat kerja dan salah satu komponen di bawah Pemulih SiberKASA: Program Latihan Kemahiran Keselamatan Siber. Pemulih SiberKASA diperkenalkan sejajar dengan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) oleh Kerajaan dalam usaha memulih dan mengukuhkan
kembali ekonomi negara yang terjejas akibat penularan pandemik COVID-19.

Semenjak program ini dibuka pada bulan Julai 2021, sebanyak 549 permohonan diterima daripada individu Keluarga Malaysia yang mempunyai latar belakang Teknologi Maklumat (IT) serta terkesan akibat pandemik COVID-19 seperti hilang pekerjaan dan tiada punca pendapatan termasuk para siswazah yang masih lagi tidak bekerja.

Dari jumlah tersebut, seramai 200 individu berjaya dipilih dan layak mengikuti program pembangunan kapasiti yang merangkumi beberapa siri latihan pensijilan keselamatan siber dan seterusnya OJT selama dua bulan setengah di 25 organisasi yang mengambil bahagian.

Organisasi yang mengambil bahagian kebanyakannya terdiri daripada rakan industri yang berada di bawah Program Kolaborasi CyberSecurity Malaysia [Collaboration Program (CCP)] yang mana inisiatif ini telah dibangunkan oleh pihak CyberSecurity Malaysia sebagai pendekatan bagi kerjasama dengan pihak industri keselamatan siber di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif, CyberSecurity Malaysia, Datuk Ts Dr Amirudin Abdul Wahab berkata, industri keselamatan siber di Malaysia kini menjadi teras dalam merancakkan pembangunan ekonomi negara yang dapat dimanfaatkan oleh pelbagai pihak.

“Melalui dana yang disalurkan oleh KKMM, kami berjaya melaksanakan program Pemulih SiberKASA. Selain memberi peluang kerjaya kepada para peserta, program ini juga berupaya menghasilkan tenaga kerja keselamatan siber yang kompeten bagi memenuhi keperluan pelbagai industri malah turut menyokong perkembangan bidang keselamatan siber untuk terus berdaya tahan,” katanya dalam satu kenyataan media.

Tambahnya, dengan memiliki kompetensi, pengetahuan serta kemahiran teknikal mengenai domain keselamatan siber berkaitan, peserta dapat meningkatkan keberkesanan pelaksanaan inisiatif keselamatan siber di organsasi tempat mereka bekerja.

Pemulih SiberKASA: Program Latihan Kemahiran Keselamatan Siber dilaksana berteraskan Pensijilan Profesional Keselamatan Siber atau Global ACE Certification dikendalikan CyberSecurity Malaysia. Peserta perlu menjalani program latihan yang ditetapkan dalam usaha untuk meningkatkan kemahiran dan keupayaan di dalam bidang keselamatan siber.

Pelaksanaan Pemulih SiberKASA: Program Latihan Kemahiran Keselamatan Siber berupaya melestari serta mengukuhkan bidang keselamatan siber negara sekali gus menyokong usaha memulih dan mengukuhkan kembali ekonomi negara yang terjejas akibat penularan pandemik Covid-19.

  • Kafebuzz.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *