23/05/2026

Kafebuzz

Portal hiburan komprehensif

“Peminat dah tanya benda ini dari dulu lagi” – Bandi Amuk dan Cromok bergabung

4 min read

Genre rock dan metal sentiasa subur sepanjang masa.

Begitu juga kehebatan band Cromok dan Amuk masih diminati ramai peminat sehingga kini. Cromok yang ditubuhkan pada 1987 dikenali sebagai perintis muzik thrash metal Malaysia. Amuk pula mencipta nama pada tahun 1998 dengan genre rock dan metal.

Sekian lama peminat menanti kemunculan kedua artis hebat ini digandingkan di atas satu pentas, akhirnya ia menjadi kenyataan.

Band Cromok masih bertahan sehingga kini.

YNS Event Management akan menganjurkan Konsert Kasi Gegar! Cromok vs Amuk yang dijadualkan berlangsung di N9 Arena, Nilai, Negeri Sembilan pada 26 April depan, jam 9 malam.

Pengarah Eksekutif YNS Event Management, Mohd Agmeer Hj Farouke berkata, konsert ini bakal melakar sejarah tersendiri apabila julung kali menggabungkan Cromok dan Amuk serta pertama kali berlangsung di N9 Arena.

“Kita belum pernah melihat dua kumpulan hebat ini digandingkan dalam satu konsert besar sebelum ini. Buat julung kalinya mereka akan beraksi di atas satu pentas dan peminat perlu hadir menonton nanti,” katanya dalam satu kenyataan media.

Bandi Amuk akan beraksi dalam satu kumpulan.

Menurutnya, Konsert Kasi Gegar! Cromok vs Amuk juga adalah persembahan pertama yang diadakan di sini selepas menjalani penambahbaikan dan dinaik taraf bukan sahaja lokasi untuk acara-acara sukan bahkan juga sebagai lokasi konsert.

“Sebelum ini ia dikenali sebagai Stadium Tertutup Nilai yang dibina khas sempena Sukan Malaysia (Sukma) ke-10 pada 2004 dan kini dikenali sebagai N9 Arena, Nilai. Pelbagai acara akan diadakan di sini termasuk konsert,” katanya.

Ujarnya, gandingan ini pasti ditunggu-tunggu peminat memandangkan Cromok dan Amuk mempunyai katalog lagu-lagu popular yang dekat di hati mereka.

“Kami sangat puas hati dengan kerjasama yang diberikan mereka. Peminat sudah lama menantikan dan impian mereka kini sudah tertunai.

“N9 Arena, Nilai menanti mereka dan menjanjikan satu acara hebat yang akan dikenang oleh
semua yang hadir nanti,” katanya.

Buat julung kali Cromok dan Amuk bergabung dalam satu persembahan konsert.

Bandi berkata, sejak dahulu lagi gandingan Amuk dengan Cromok sudah terlintas di fikirannya.

“Peminat dah tanya benda ini dari dulu lagi. Jadi saya rasa ini satu peluang yang baik. Sebenarnya, YNS Event Management mulanya hubungi saya untuk buat konsert Amuk di sini.

“Saya cadangkan mengapa tidak kita buat konsert Cromok Vs Amuk. Mereka pun terus bersetuju sebab saya rasa memang dari dulu pun banyak peminat yang bertanyakan tentang ini.

“Dalam album pertama Amuk, Tanpa Prejudis, ada sekitar enam atau tujuh lagu Cromok dirakam semula dalam versi Melayu. Jadi peminat nak tengok kolaborasi saya dengan Sam (vokalis Cromok),” katanya.

Konsert Kasi Gegar! Cromok vs Amuk akan berlangsung di N9 Arena, Nilai, Negeri Sembilan pada 26 April depan.

Bandi berkata, banyak yang sudah dirancang dengan Karl@Anuar (pemain gitar Cromok) yang kemudian bersetuju.

“Untuk Amuk, saya mungkin akan ambil seorang lagi pemain gitar dinamakan Metal Bugis yang akan bergandingan Metal Jawa, Din Taring dan Budu Siam.

“Saya nak dapat satu sound (bunyi) yang agak ke depan. Bukan nak berlawan dengan Cromok. Kami nak hidangkan satu benda yang orang tak boleh lupa. Nak orang nampak gandingan kami best.

“Akan ada lagu penutup di mana saya akan menyanyi versi Melayu dan Sam versi Inggeris lagu Cromok. Ia gabungan unik. Amuk pun jarang bermain satu band,” katanya.

Baginya, N9 Arena, Nilai satu lokasi yang strategik, selain terletak tidak jauh dari Kuala Lumpur.

“Terdapat banyak kemudahan di sini. Tempat letak kereta yang luas dan surau. Semuanya lengkap,”katanya.

Peminat boleh membeli tiket konsert yang dibuka sejak 24 Januari lalu.

Karl@Anuar pula berkata, Cromok tidak pernah terfikir untuk bergandingan dengan Amuk walaupun ada permintaan daripada peminat sebelum ini.

“Kali ini ia menjadi sebab Bandi hubungi saya. Kami setuju kerana kami dah main dengan XPDC, dengan A.C.A.B, Hillary dan Man Kidal dan kini bersama Amuk.

“Saya rasa kolaborasi begini menarik kepada peminat. Bayangkan Sam berduet dengan Bandi dalam satu lagu. Itu yang orang nak tengok.

“Konsert pertama sebagai pembuka tirai 2025 untuk Cromok dan pembuka tirai untuk N9 Arena, Nilai. Cromok dan Amuk adalah kumpulan pertama beraksi di situ selepas dibaik pulih dan dibuka,” katanya.

Cromok dan Amuk bersama penganjur konsert YNS Event Management.

Tambahnya, mengambil kira faktor ini, konsert ini perlu dibuat dengan hebat dan penuh gempak.

“Kena buat bagi gempak. Untuk yang pertama kalau tak gempak, tak bestlah. Cromok ada persembahan sendiri dan Amuk juga sama.

“Cuma yang menariknya sama ada kita akan mainkan lagu-lagu Amuk, belum dibincangkan lagi. Gandingan ini takkan berulang. Cromok takkan ulangi konsep yang sama untuk seterusnya,” katanya.

Karl@Anuar mengharapkan peminat hadir beramai-ramai kerana ada lagu Cromok yang tiada lirik, diberikan lirik di mana dia akan mainkan.

Venue ini mampu memuatkan peminat dalam kapasiti besar. Dua band beraksi dengan harga tiket pun dikira murah. Kalau di KL memang susah nak dapat harga bawah RM120.

“Harga begini supaya ramai datang menonton termasuk dari Johor dan Melaka. Lokasi yang bagus dan tidak jauh dari Kuala Lumpur. Tiada masalah pun, cuma orang nak pergi atau tidak,” katanya.

Tiket untuk menonton konsert ini berharga RM118 (Cat 1 berdiri), RM218 (Cat 2 duduk), RM158 (Cat 3 duduk), RM248 (VIP duduk), RM388 (VVIP duduk), RM488 (GS).

Tiket mula dijual sejak 24 Januari lalu, jam 3 petang dan boleh dibeli menerusi n9arena.ubertickets.asia.

Maklumat lanjut mengenai Konsert Kasi Gegar! Cromok vs Amuk ini juga boleh diperolehi menerusi laman sesawang N9ARENA.UBERTICKETS.ASIA

  • Kafebuzz.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *