Paduan vokal Atilia bersama Amy Search memukau tetamu
1 min read
Bayangkan jika majlis perkahwinan anda dihiburkan dengan dua penyanyi popular yang mempunyai vokal hebat.
Pastinya, ia akan meninggalkan momen yang cukup indah buat mempelai. Pengalaman tersebut dikongsi penyanyi Atilia yang berpadu suara dengan legenda rock tersohor, Amy Search dalam satu majlis perkahwinan malam tadi.
Atilia berkongsi video persembahannya itu menerusi akaun media sosialnya di Instagram, @atiliaharon.
Ia bagaikan malam yang cukup sempurna apabila Atilia yang kelihatan anggun dengan kebaya hitam milik ibunya, bergandingan dengan Amy menyampaikan dua buah lagu popular, Fantasia Bulan Madu dan Rozana.
Sama ada Atilia mahupun Amy, mereka saling ‘memberi’ persembahan terbaik dan mempunyai persefahaman yang sangat lancar pada setiap bait lirik yang dinyanyikan secara duet. Beberapa kali Amy kelihatan selamba menyanyi sambil tangan kirinya menyeluk poket manakala Atilia melemparkan senyuman pada tetamu.
Biarpun ia bukan persembahan berskala konsert, persembahan mereka cukup memukau tetamu sehingga pada penghujung persembahan, pengantin turut sama naik ke pentas menyanyi bersama.
- Kafebuzz.my



