13/05/2024

Kafebuzz

Portal hiburan komprehensif

[Nota Editor] Sambil makan roti canai tulis berita, HAWANA 2023 tidak seharusnya jadi agenda tahunan bersifat cukup syarat

3 min read

Esok merupakan hari penting buat semua media Malaysia.

Sekali lagi golongan pengamal media akan meraikan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023 yang dijangka berlangsung di Ipoh, Perak selama tiga hari.

Pastinya bagi pengamal media, penganjuran acara ini suatu yang mengujakan untuk hadir tapi memikirkan lokasi di luar Lembah Klang, ia pasti menjadi halangan pada ramai pengamal media untuk turut serta.

Ketepikan dulu isu lokasi penganjuran sebaliknya HAWANA 2023 yang membawa tema Media Bebas Tunjang Demokrasi perlu lebih fokus pada perjalanan aktiviti agar ia memberi manfaat secara menyeluruh pada semua pengamal media dan paling penting acara ini membawa hasil perbincangan yang sangat signifikan dan tindakan selanjutnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Roslan Ariffin dalam satu laporan berita Bernama berkata antara cabaran utama dihadapi wartawan pada masa kini adalah penyebaran maklumat tidak sahih oleh pengguna media sosial yang tidak terlatih serta tidak terikat dengan etika kewartawanan.

“Tak dinafikan, bukan semua pengguna di media sosial ini dalam kalangan mereka yang terlatih (celik media)… (pempengaruh) media sosial yang wujud menganggap diri mereka juga sebagai wartawan tetapi sebenarnya mereka tidak, kerana wartawan dilatih khas,” katanya dipetik menerusi laman sesawang, HAWANA2023.

Jika pandangan Roslan diambil kira, ini bermakna golongan pempengaruh bukan wartawan. Bagaimana pula jika mereka (pempengaruh) bertindak mewujudkan portal berita sendiri dan menulis pelbagai berita tanpa panduan penulisan wartawan yang sebenar mengikut Etika Kewartawanan.

Ini boleh jadi isu besar kerana bagi pengamal media yang melanggan emel Malaysia Media Alert yang disediakan Telum Media seringkali menyaksikan pelbagai media baharu khususnya portal berita secara dalam talian (online) wujud.

Mungkinkah kerajaan menerusi Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) mempunyai mekanisma lebih teratur dan spesifik dalam mengawal selia portal-portal berita baharu ini. Bolehkah mereka berdaftar dengan Jabatan Penerangan Malaysia untuk membuat Kad Perakuan Media?

Sudah tiba masanya kerajaan mengambil serius perkara ini jika mahu usaha meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap penyebaran berita palsu dalam penganjuran HAWANA 2023 mencapai matlamat.

Pengamal media dan orang ramai dijemput bersama-sama memeriahkan HAWANA 2023.

Dalam zaman serba digital, portal berita seperti dalam talian tidak lagi wajib mempunyai premis tetap dijadikan sebagai pejabat. Hanya guna telefon bimbit sampai makan roti canai di kedai mamak, sesiapa saja boleh tulis berita kemudian dimuat naik ke media sosial dan kemudian berita itu tersebar meluas (viral) hingga dibaca dan dikongsi berjuta pengguna di seluruh dunia.

Syarat portal berita perlu ada pejabat, kakitangan, ahli lembaga pengarah, modal bisnes bukan lagi syarat penting untuk menjadi pengamal media profesional. Apa yang paling penting ialah setiap portal berita wajib berdaftar dengan Jabatan Penerangan Malaysia sebagaimana setiap warganegara Malaysia wajib ada kad pengenalan manakala warga asing ada pasport atau kad pengenalan Pemastautin Tetap atau MyPR.

Seperkara lagi, sudah tiba masanya Etika Kewartawanan dirobak dan dipinda dengan lebih banyak penambahbaikkan diperkenalkan. Etika Kewartawanan 2023 kelak menjadi panduan, penanda aras dan hala tuju lebih jelas pengamal media di negara ini.

Jika suatu ketika dulu hanya ‘mainstream’ media lebih memainkan peranan sebagai media propaganda kerajaan sehingga ada media pembangkang diboikot tetapi kini identiti media lebih bebas.

Penganjuran HAWANA 2023 tidak seharusnya menjadi agenda tahunan bersifat cukup syarat semata-mata sebaliknya menjadi platform lebih besar dan profesional. Pertemuan kerajaan (tidak hanya membabitkan Menteri) dengan pengamal media perlu lebih giat dilakukan agar pelbagai isu, perbincangan dan cadangan dalam dimuktamadkan.

Selamat berHAWANA buat semua pengamal media.

Artikel ini ditulis oleh Elrafaei Sapi merupakan perunding media dari Kafebuzz Media, penganalisis hiburan, pengamal media profesional yang berpengalaman luas dalam bidang kewartawanan selama 20 tahun, pernah memenangi pelbagai anugerah kewartawanan dan juga Pengasas serta Editor Pengurusan portal berita Kafebuzz.

  • Kafebuzz.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *