Muat naik juadah berbuka puasa dalam talian, perbuatan tersebut hendaklah dinilai dengan niat
3 min read
Pelbagai isu muncul di media sosial termasuk menyentuh aspek agama.
Dari satu sudut positif, platform sosial ini dikatakan membuka banyak peluang kepada pendakwah merungkai pemahaman masyarakat mengenai Islam.
Bagi merungkai isu dan mengenal pasti jalan penyelesaian bagi memperkukuh wacana Islam secara dalam talian, Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) dan stesen radio Astro, ZAYAN menganjurkan forum bertajuk Let’s Talk Content – ‘Isu-Isu Agama Viral: Menyangkal Yang Dangkal’.
Antara panel jemputan dan hos terdiri daripada pemain industri terkenal dan pendakwah iaitu penyanyi dan komposer Damian Mikhail, Faizal Ismail (penyampai radio ZAYAN), Ustazah Suriani Ismail (penceramah bebas) dan Amin Idris (pengacara TV).
Isu percambahan kandungan dalam talian mengenai agama terutama kata-kata nasihat yang disertakan dengan ayat al-Quran memberikan persepsi pada sebahagian pengguna digital mungkin sukar membezakan antara hadis sahih dan palsu (hadith mawdu’).
Ustazah Suriani berkata, mereka yang menyampaikan dakwah secara dalam talian harus berpegang teguh kepada ilmu dan fakta.
“Orang awam seperti kita, yang mungkin tidak tahu perkara yang benar atau salah, harus menyelidik terlebih dahulu latar belakang pendakwah tersebut, bertauliah atau tidak,” katanya dalam satu kenyataan media Content Forum, baru-baru ini.
Damian bersetuju, sambil menambah bahawa pencipta kandungan harus mempraktikkan kawalan kendiri daripada berkongsi kandungan kontroversi demi klik dan viral.
“Dalam era di mana sesiapa sahaja boleh menjadi pencipta kandungan, adalah amat penting untuk merujuk kepada garis panduan kandungan bagi mengelak kecaman dan tindak balas orang awam. Ia berpunca daripada sikap merendah diri dan rasa tanggungjawab.
“Sebaik-baiknya kita keluar dari mentaliti kelompok yang berlaku pada sesetengah orang awam. Kita sepatutnya berfikiran kritikal dan analitikal apabila berlaku sesuatu kejadian. Antara garis panduan yang dimaksudkan adalah Kod Kandungan 2022, yang menggariskan amalan terbaik untuk mencipta dan menggunakan kandungan yang merentasi semua medium.
“Kod tersebut termasuk panduan mengenai kandungan agama, di mana setiap orang harus memastikan bahawa kandungan mereka tidak mempunyai elemen rujukan yang kasar atau diskriminasi. Garis panduan ini juga memberi amaran terhadap kandungan palsu atau mengelirukan dan mengehadkan pengekalan perkara tidak benar yang boleh menyebabkan ketakutan yang tidak berasas,” katanya.
Bagi memperhalusi perkara tersebut, Faizal menjelaskan bagaimana dia berkongsi ajaran Islam sebagai penceramah motivasi.
“Saya tidak akan mengulas mengenai topik yang saya tidak layak untuk bercakap. Apabila berhujah megenai hadis, ia bukan sekadar membaca kerana anda perlu mempunyai ilmu dalam bidang lain. Saya juga tidak akan menghuraikan ayat al-Quran, kerana itu bukan kepakaran saya,” katanya.
Amin memuji pendekatan ini dan mengatakan masyarakat harus mengambil contoh Faizal dalam mencari ilmu dengan cara nak jadi pandai tapi tak memandai-mandai.
Memandangkan terdapat kepelbagaian pendapat dalam soal agama, Ustazah Suriani menekankan perlunya kembali ke lumrah.
“Agamawan pun berbeza pendapat dalam sesuatu isu, dan terpulang kepada kita sebagai individu untuk menentukan perspektif mana yang ingin kita ikut. Tetapi apa sahaja yang kita rujuk mestilah berdasarkan ilmu,” katanya.
Tambah Damian, dia mengalu-alukan kepelbagaian pendapat selagi tidak bertentangan dengan al-Quran dan Sunnah.
“Islam adalah mengenai penambahbaikkan yang berterusan. Sejak lahir sehingga kini, ia adalah proses pembelajaran yang berterusan dan saya meraikan perbezaan pendapat asalkan ia berpegang kepada al-Quran dan sunnah,” katanya.
Dalam merungkai isu tular mengenai agama, ahli panel menggesa pengguna media sosial merenung sesuatu isu atau situasi sebelum terlibat dalam perbincangan digital yang hangat. Sebagai contoh, perdebatan baru-baru ini sama ada memuat naik juadah berbuka puasa dalam talian sebagai menunjuk-nunjuk.
Ustazah Suriani berkata berdasarkan hadis, perbuatan tersebut hendaklah dinilai dengan niat.
“Pengalaman berdepan para asnaf, apa yang dijual hari ini, belum tentu boleh pulang modal. Media sosial menjadi medan marketing.
“Berdasarkan hadis Nabi, sesungguhnya segala apa yang kita buat bergantung kepada niat. Apabila kita mempunyai adab dan akhlak, kita akan menghormati perasaan orang lain,” katanya.
Pada masa sama, ahli panel turut memberi peringatan kepada mereka yang menggunakan agama sebagai alat, seperti pihak tidak bertanggungjawab dengan bertopengkan kebajikan dalam melakukan penipuan sepanjang Ramadan.
“Kita harus menuntaskan usaha wajar sebelum bersedekah. Contohnya, Ustazah Asma (Harun) membuat panggilan video untuk kesahihan sebelum memberi bantuan,” kata Faizal.
Ustazah Suriani pula berkata, isu itu perlu dilihat melalui kaca mata yang membina.
“Berdusta tetap berdosa, tetapi bersedekah peroleh pahala. Dalam soal kebajikan pula, kita harus mengutamakan keluarga sendiri kerana kita akan mendapat ganjaran daripada Allah di samping mengeratkan hubungan kekeluargaan,” katanya.
Bagi pengguna yang berminat menyaksikan rakaman penuh sesi perbincangan tersebut boleh mengunjungi Facebook Forum Kandungan: https://www.facebook.com/mycontentforum/ manakala maklumat lebih lanjut mengenai Forum Kandungan dan Kod Kandungan boleh dilayari di www.contentforum.my.
- Kafebuzz.my

