Misteri Hutan Tok Kepak catat sejarah FDAM mengangkat pengarah amatur bawa misi ke Oscar
3 min read
Pembikinannya masih di peringkat praproduksi.
Bagaimanapun, filem terbaharu Misteri Hutan Tok Kepak menampilkan keunikan dan tarikan tersendiri yang mahu dikongsi bersama khalayak.
Pertama, filem ini diterbitkan Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) bersama produksi K. Titanium Pictures. Kedua, filem berkonsep moden purba ini menampilkan tiga pengarah bertaraf amatur iaitu Khairul Azizi, Rayyan Danish dan Asrul Nizam di bawah pengawasan Timbalan Presiden FDAM, Datuk Zulkeflie M. Osman yang bertindak sebagai mentor.
Ketiga, filem ini menggabungkan pelakon senior dan baharu antaranya Dato’ Jefri Omar, Aman Shah, Ebby Saiful, Razali Hussein, Megat Terawis dan bakat baharu, Tizei Nik.
Faktor keempat, FINAS menyatakan keyakinan terhadap penerbitan filem ini yang diharap dapat mengikuti jejak langkah filem Prebet Sapu ke acara anugerah berprestij dunia, Oscar.

Pelancaran filem ini yang dijangka membelanjakan kos sebanyak setengah juta Ringgit disempurnakan Pengerusi FINAS, Zakaria Abdul Hamid di Pawagam Mini P Ramlee, FINAS, Hulu Kelang, Selangor baru-baru ini.
Dalam ucapannya, Zakaria menyatakan penghargaan pada FDAM kerana berjaya melaksanakan projek perintis ini.
“Syabas dan tahniah pada FDAM kerana berjaya melaksanakan projek perintis ini. Semasa pertemuan pertama kita, ini merupakan cabaran saya lontarkan pada FDAM untuk melahirkan lebih ramai generasi muda mewarnai industri perfileman negara.
“Ini merupakan satu detik sejarah yang mana hasilnya selepas setahun, insha Allah kita akan dapat melakukan pembikinan filem dalam kalangan amatur seperti mana kita impikan,” katanya.

Tambahnya, dalam soal industri kreatif dan perfileman, tumpuan semua pihak adalah membangunkan bakat pelapis daripada generasi muda.
“Kemajuan industri filem memang banyak bergantung pada idea dan teknologi baru yang sudah pasti kebanyakan dijana oleh tenaga muda.
Ujarnya, golongan pengarah amatur perlu dilatih sebaik mungkin agar yang baharu lebih baik daripada lama.
“Jika yang baharu sama macam yang lama jadi tidak berlaku transformasi atau perubahan dalam industri kita. Sangat perlu kita merancang masa depan.
“Di FINAS kami sudah merancang pada tahun 2030 nanti kita mempunyai hala tuju lebih jelas untuk sampai ke Oscar dan usaha ini tidak boleh dijalankan oleh FINAS dan dana kerajaan semata-mata tanpa usaha dilakukan oleh persatuan bagi meningkatkan daya kerja dan kreatif anak-anak muda untuk mencapai matlamat ke Oscar,” katanya.

Zakaria juga memuji usaha FDAM melatih pengarah filem amatur merupakan satu sejarah yang julung kali dilakukan persatuan industri kreatif di negara ini.
“Apa yang menarik mengenai filem ini ialah penglibatan pelakon veteran dan berpengalaman dalam projek yang diusahakan 100 peratus anak muda yang belum pernah terlibat dalam penerbitan filem.
“Saya anggap ini satu sinergi yang wajib dipuji dan menjadi inspirasi dalam industri perfileman tempatan. Gabungan orang lama dan baru, ini sudah pasti menghasilkan satu karya yang bakal menarik perhatian industri perfileman tanah air,” katanya.

Pada majlis tersebut, Zakaria juga menyatakan hasrat FINAS akan membantu pembikinan filem ini dari aspek Dana Kandungan Digital atau dana pemasaran selepas filem ini siap.
Pengarah Projek, Zaini Hassan pula berkata filem Misteri Hutan Tok Kepak adalah merupakan satu ‘cita-cita besar’ FDAM yang tercetus apabila mula membuka pintu keahlian kepada golongan yang tiada pengalaman atau pengetahuan mendalam tentang dunia pengarahan dan perfileman.
“Saya selaku pengarah projek dengan restu presiden dan Ahli Majlis Kerja FDAM yang lain telah mencabar ahli-ahli amatur supaya menghasilkan sebuah telefilem dengan modal kosong.
“Tanpa disangka cabaran ini disambut oleh sekumpulan ahli amatur. Malahan bukan sekadar telefilem atau supertele tetapi mereka memutuskan untuk menghasilkan sebuah filem.
“Seorang daripadanya memodalkan penerbitan ini dengan peruntukan sebanyak RM50,000. Semua kru termasuk pengarah tidak dibayar gaji. Peralatan dipinjamkan oleh salah seorang ahli sementara perbelanjaan lain mereka akan berusaha mencari penaja,” katanya.
Penggambaran filem ini dijangka bermula pada 12 Januari 2022 di lokasi sekitar Kedah selama 20 hari.

- Kafebuzz.my

