Mawi Dalam Lautan Manusia masuk Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2022
2 min read
Apa aktiviti hujung minggu anda?
Cuti sekolah baru saja bermula, sudah tentu ibu bapa gusar memikirkan apa aktiviti menarik yang bermanfaat untuk anak-anak.
Bagi mereka yang mempunyai masa terluang, apa kata singgah ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2022 (PBAKL 2022) yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) ketika ini.
Acara yang diadakan sejak 3 Jun lalu sehingga 12 Jun depan dibuka kepada umum bermula jam 10 pagi hingga 10 malam.

Pelbagai genre buku yang dijual kali ini. Sudah tentu antara buku yang menjadi tumpuan pengunjung ialah buku autobiografi penyanyi popular Mawi berjudul Mawi Dalam Lautan Manusia yang boleh dibeli di gerai Lejen X Rabak-Lit (nombor gerai 4072 hingga 4076) yang berada di Dewan Tun Razak 4, tingkat 4.
Buku setebal 76 muka surat ini yang dijual di pasaran menerusi platform Shopee dan kedai-kedai buku terpilih di seluruh negara sejak 14 Januari lalu dilancarkan secara rasmi oleh Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik pada 26 Mac lalu. [Baca lagi: Dr Maszlee kenal Pakcik Penjual Kitab tilik Mawi jadi orang termasyhur]

Penerbit Kafebuzz Media yang juga Editor Mawi Dalam Lautan Manusia, Elrafaei Sapi berkata, acara PBAKL menjadi platform terbaik untuk orang ramai khusus peminat Mawi yang ingin mendapatkan buku Mawi Dalam Lautan Manusia.
“Mungkin sebelum ini ada peminat yang tercari-cari buku Mawi Dalam Lautan Manusia di kedai buku tetapi tiada. Ada juga tidak sempat membeli di platform dalam talian tetapi mereka boleh datang terus ke sini (WTCKL) untuk membelinya.
“Pastinya, buku Mawi Dalam Lautan Manusia ini berbeza dengan buku autobiografi atau biografi lain yang dijual di pasaran kerana ia mengisahkan kisah benar perjalanan hidup Mawi sendiri yang menempuh pelbagai peristiwa mistik dan pelik sebelum bergelar penyanyi popular hingga meniti puncak populariti,” katanya.

Menariknya, pengunjung dan peminat Mawi berpeluang membeli buku Mawi Dalam Lautan Manusia pada harga diskaun sebanyak 10 peratus.
Bagi mereka yang merancang ke PBAKL kali ini jangan lepas peluang mendapatkan buku Mawi Dalam Lautan Manusia di gerai Lejen X Rabak-Lit (nombor gerai 4072 hingga 4076) yang berada di Dewan Tun Razak 4, tingkat 4.

- Kafebuzz.my

