23/05/2026

Kafebuzz

Portal hiburan komprehensif

Bak konsert mini, Mawi dikerumuni peminat

2 min read

Auranya masih terasa.

Suasana di satu kawasan sempit di celah-celah buku menjadi gamat seketika. Pengunjung yang lalu lalang berhenti untuk melihat lebih dekat gerangan suara yang biasa mereka dengar di radio mahupun menonton di TV.

Kelibat penyanyi popular, Mawi yang singgah di gerai buku, Lejen X Rabak-Lit membuatkan pengunjung datang lebih dekat untuk mengetahui apa yang sebenarnya berlaku.

Penyampai radio Zayan itu hadir mempromosikan buku autobiografinya berjudul Mawi Dalam Lautan Manusia pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, kelmarin.

Mawi melayani pengunjung dan peminat yang membeli buku Mawi Dalam Lautan Manusia di gerai buku Lejen X Rabak-Lit. (Foto: Kafebuzz.my)

Di kesempatan itu, Mawi meluangkan masa bercerita pengalamannya menghasilkan buku tersebut sebelum menghadiahkan pengunjung dengan mendendangkan dua lagu popularnya, Kian dan Lagu Jiwa Lagu Cinta.

Jika gerai buku lain hanya bercakap soal buku semata-mata, Mawi pula beraksi seperti dalam konsert mini. Ketika dia menyanyikan dua lagu tersebut, pengunjung dan peminat turut sama menyanyi beramai-ramai. Mungkin pengunjung merindui saat Mawi dalam program realiti Akademi Fantasia 3.

Mawi hadir mempromosikan buku autobiografi pertamanya berjudul Mawi Dalam Lautan Manusia. (Foto: Kafebuzz.my)

Bagi pengarah filem terbaharu. Zim Zim Ala Kazim ini, ruang sempit di kawasan berkenaan bukan halangan untuk dia menghiburkan pengunjung dan peminat yang datang. Kehebatan suara jantan yang dimiliki merupakan suatu anugerah yang tidak ternilai. Ketika dia menyanyikan lagu duet, Lagu Jiwa Lagu Cinta, Mawi memberi ruang pada salah seorang pengunjung untuk nyanyi bersamanya.

Sejurus selesai menyanyi, Mawi mengajak pengunjung dan peminatnya singgah ke gerai buku Lejen X Rabak-Lit untuk mendapatkan buku autobiografinya yang dijual di sana.

Menariknya, buku Mawi Dalam Lautan Manusia terbitan Rabak-Lit bersama Kafebuzz Media ini dijual pada harga diskaun sebanyak 10 peratus. Mawi yang duduk di sebuah meja bertemu pengunjung secara lebih santai untuk sain autograf pada buku autobiografi yang dibeli dan bergambar.

Pengunjung dan peminat yang membeli buku Mawi Dalam Lautan Manusia berpeluang mendapatkan autograf dan bergambar. (Foto: Kafebuzz.my)

Mawi antara ramai selebriti, ahli politik, penceramah agama, pendidik mahupun penulis buku lain yang turun padang menjual buku sendiri sempena PBAKL.

Buku Mawi Dalam Lautan Manusia dianggap istimewa buat peminat yang membeli kerana ia direka dan diterbitkan dengan kualiti terbaik iaitu muka surat berwarna dan kulit buku dengan reka bentuk ‘Spot UV’, sesuai dijadikan koleksi peribadi.

Buku Mawi Dalam Lautan Manusia masih boleh dibeli menerusi platform Shopee dan di kedai buku terpilih di seluruh negara iaitu Toko Buku Sue, Hasani Bookstores (Sungai Petani, Alor Setar dan Perai), Shadani Bookstore (Alor Setar), SMO Bookstores (24 cawangan kedai buku di seluruh Pahang, Terengganu dan Kelantan), kedai buku PTS Selayang dan Borders Bookstores (The Curve dan IOI Mall).

  • Kafebuzz.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *