Mawi antara 100 CEO paling top di Malaysia, bakal cetus fenomena menerusi buku biografi
2 min read
Bakatnya memang serba boleh.
Asal sebagai penyanyi, dia kemudian mengasah bakat sebagai pelakon, pengarah drama dan filem hingga tercapai impian untuk menjadi penyampai radio.
Juara Akademi Fantasia musim ketiga (AF3) iaitu Mawi membuktikan perjalanan hidupnya suatu yang menarik untuk dikongsi bersama peminat.
Malam tadi, penyanyi popular ini menerima Anugerah 100 Top Young CEO 2021 atas pencapaiannya menguruskan syarikat produksinya, MW Entertainment Sdn Bhd.
Anugerah yang dianjurkan IKON Malaysia itu mengiktiraf Mawi bagi kategori Industri hiburan dan muzik pada tahun ini.

Bagi Mawi, dia setiasa bersyukur atas setiap anugerah yang diterimanya sepanjang menjadi anak seni sejak lebih 16 tahun lalu.
“Alhamdulillah saya bersyukur dengan anugerah ini. Syukur sangat-sangat, tak pernah menyangka pencapaian hidup meraih anugerah sebegini.
“Sebenarnya anugerah ini memberi semangat pada saya untuk terus berkarya dengan menghasilkan filem-filem dan produk berkualiti yang boleh memberi manfaat kepada masyarakat serta penonton,” katanya ketika dihubungi Kafebuzz.

Tambahnya, dia menyatakan penghargaan dan ucapan terima kasih pada IKON Malaysia atas anugerah tersebut.
Menerusi anugerah terbaharu itu, Mawi kini diiktiraf dalam dunia korporat sebagai CEO termuda paling top di negara ini.
Mawi yang juga penyampai radio Zayan di Astro sebelum ini pernah menerbitkan filem pertama dibawah syarikat produksinya itu berjudul Tiada Tajuk pada tahun 2019 dan terbaharu, filem Hantu Kuat Ketawa yang akan ditayangkan menerusi platform Astro First pada Disember depan.
Masih sibuk dengan aktiviti seni, dia juga akan muncul dengan single terbaharu pada bulan yang sama termasuk bakal mencetuskan fenomena kembali dengan buku biografi yang membawa kisah perjalanan hidupnya.

- Kafebuzz.my

