03/04/2026

Kafebuzz

Portal hiburan komprehensif

Malaysia RV Meets 2022 capai matlamat, peluang pemilik RV berkumpul

2 min read

Bayangkan anda berkhemah dengan kenderaan rekreasi (RV) sambil menikmati permandangan matahari terbenam di tepi pantai.

Pastinya ia sungguh mengasyikkan apatah lagi ditemani orang tersayang. Pengalaman menarik itu dikongsi lebih 120 peserta bersama lebih 40 RV terbabit dalam program Malaysia RV Meets 2022 yang diadakan di Jeti Nelayan Port Dickson, Negeri Sembilan baru-baru ini.

Antara gelagat peserta program Malaysia RV Meets 2022. (Foto: PROFIMA)

Presiden Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA), Khalil Saleh berkata acara julung kali ini merupakan inisiatif dan usaha yang dianjurkan Mirnaz Studio Sdn Bhd dengan sokongan Tourism Malaysia dan PROFIMA.

“Acara ini diadakan selama 3 hari dan berjaya menarik lebih 1,500 pengunjung sepanjang acara ini berlangsung. Program Malaysian RV Meet 2022 ini mencapai matlamat iaitu mengumpulkan pemilik, pengusaha, peminat dan orang ramai berkaitan RV yang mana pelbagai jenis kenderaan seperti campervan, motorhome, RV dan sebagainya,” katanya dalam satu kenyataan media.

Khalil (dua dari kiri) bersama Kapten Bon (dua dari kanan) dan peserta Malaysia RV Meets 2022. (Foto: PROFIMA)

Menurutnya, pelbagai pengisian dirancang sepanjang 3 hari acara berkenaan berlangsung.

“Antara aktiviti menarik yang dijalankan ialah pameran motorhome dan caravan bagi tujuan memberi pendedahan kepada peminat-peminat yang masih belum mencuba. Para peserta juga membuat aktiviti sukaneka tradisional, persembahan pentas, cabutan bertuah, bengkel dan penerangan informasi, perkongsian ilmu serta pengetahuan kenderaan rekreasi.

“Ada juga peserta memasak dan menjalankan aktiviti harian mereka di motorhome atau caravan masing-masing. Buat pengunjung yang datang ke Malaysian RV Meet 2022 boleh mempelajari dan merasai sendiri pengalaman bercuti menggunakan motorhome atau caravan,” katanya.

Pelbagai ragam peserta program Malaysia RV Meets 2022. (Foto: PROFIMA)

Tambahnya, acara ini turut menarik perhatian selebriti tempatan untuk mengambil bahagian antaranya Keena Mentor, Azan Scoin dan Kapten Bon.

Bagi Pengarah Program Malaysian RV Meet 2022, Kapten Bon, acara kali ini yang pertama kali dianjurkan mendapat sokongan penuh dengan kehadiran ramai pemilik RV seperti motorhome dan caravan yang mempunyai pelbagai model dan jenis.

“Program ini berjaya mencapai matlamat dan memandangkan hobi dan kesukaan aktiviti ini masih baru di Malaysia, ia memberi peluang kepada pengusaha, peserta dan orang ramai untuk terlibat sambil mengetahui kenderaan pelbagai guna untuk rekreasi ini,” katanya.

Program Malaysia RV Meets 2022 memberi ruang pada peserta bersantai bersama keluarga. (Foto: PROFIMA)
Kenderaan MPV juga mengambil bahagian dalam program Malaysia RV Meets 2022. (Foto: PROFIMA)
Percutian bersama kenderaan RV seperti caravan merupakan aktiviti menarik untuk seisi keluarga. (Foto: PROFIMA)
Orang ramai juga berpeluang beramah mesra dengan peserta Malaysia RV Meets 2022. (Foto: PROFIMA)
Pelbagai jenis kenderaan RV dapat dilihat menerusi progarm Malaysia RV Meets 2022. (Foto: PROFIMA)
Malaysia RV Meets 2022 berjaya mempromosikan aktiviti rekreasi bersama RV. (Foto: PROFIMA)
Kereta berkonsepkan RV juga mengambil bahagian dalam program Malaysia RV Meets 2022. (Foto: PROFIMA)
  • Kafebuzz.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *