Malaysia menuju Dekad Keemasan Digital sebagai Harimau Digital Asia
2 min read
Penyertaan Malaysia di London Tech Week (LTW) pada 12 hingga 15 Jun lalu menyaksikan pelbagai komitmen positif pelaburan melibatkan sektor ekonomi digital berjaya diperoleh.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, nilai pelaburan sebanyak RM8.3 bilion yang telah diumumkan pasti akan menjadi pemangkin buat Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) melalui
Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) untuk menarik pelabur asing membuat pelaburan dalam negara menerusi Malaysia Digital (MD) seiring dengan konsep Malaysia MADANI.
“Melalui LTW, banyak manfaat dari aspek ekonomi digital merangkumi inovasi dan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI), pengurusan data, keselamatan siber serta peluang pelaburan bagi syarikat di Malaysia untuk melabur di Eropah melalui United Kingdom (UK) dan sebaliknya.
“Tiga aspek penting yang perlu dijadikan fokus bagi memantapkan ekonomi digital dan ekosistem siber termasuklah memastikan 100 peratus jaringan infrastruktur dalam negara, mencapai 80 peratus liputan rangkaian 5G di kawasan berpenduduk menjelang penghujung 2023 serta keperluan segera untuk menggubal beberapa undang-undang baharu,” katanya dalam satu kenyataan media.

Menurutnya, syarikat-syarikat tempatan mempunyai daya tarikan kepada syarikat-syarikat asing termasuk dari UK agar dapat beroperasi di Malaysia, seterusnya seluruh Asia Tenggara.
“KKD juga menyambut baik kenyataan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkenaan dengan Rang Undang-Undang (RUU) Keselamatan Siber yang perlu digubal segera bagi membolehkan Malaysia menelusuri cabaran era digital yang menuntut kesiapsiagaan terbaik dalam menangani ancaman keselamatan siber.
“Perkara tersebut merangkumi pindaan bagi Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709) yang menyentuh aspek penelitian pemakluman wajib syarikat pemegang atau pengguna data kepada Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) sekiranya berlaku kebocoran, kini dalam fasa akhir sebelum dibawa kepada Jemaah Menteri dan seterusnya ke Parlimen,” katanya.

Jelasnya, Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) yang bakal dimeterai oleh UK tidak lama lagi, akan memberikan peluang bagi meningkatkan kerjasama kedua-dua negara, terutamanya dalam bidang ekonomi digital sekali gus meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara.
“KKD melalui MDEC, CyberSecurity Malaysia serta beberapa agensi lain akan menyegerakan inisiatif untuk memperoleh banyak keuntungan hasil daripada keterlibatan syarikat-syarikat dari Malaysia dan UK, yang secara langsung akan membuahkan limpahan ekonomi kepada rakyat Malaysia.
“Saya yakin dengan pelaksanaan tersebut Malaysia akan menuju Dekad Keemasan Digital sekali gus menjadikan Malaysia sebagai Harimau Digital Asia,” katanya.

- Kafebuzz.my

