02/04/2026

Kafebuzz

Portal hiburan komprehensif

Malaysia komited memperkasa sistem Pos antarabangsa dalam era pasca pandemik

2 min read

Malaysia menerusi Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) komited untuk mencapai Agenda Pembangunan Lestari 2030 melalui Kesatuan Pos Sedunia (UPU) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa
Bersatu (UN) bagi membina masa depan yang lestari demi kesejahteraan sejagat.

Komitmen ini diterjemahkan melalui usaha kerajaan Malaysia untuk mempertahankan kerusi Council of Administration (CA) serta turut bertanding untuk kerusi Postal Operations Council (POC), Universal Postal Union bagi penggal 2022 – 2025.

Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur Telekomunikasi dan Ekonomi Digital) KKMM, Ma. Sivanesan yang mewakili Malaysia dalam ucapannya di Persidangan Peringkat Menteri pada 10 Ogos 2021 sempena Kongres ke-27 UPU bermula 9 Ogos hingga 27 Ogos 2021 yang dihoskan oleh Abidjan, Cote D’Ivore, menyatakan kesediaan Malaysia membangunkan sistem pos antarabangsa pasca pandemik COVID-19 ini.

Sebahagian daripada ahli Kongres ke-27 UPU di Abidjan, Cote D’Ivore yang mengambil bahagian dalam Persidangan Peringkat Menteri pada 10 Ogos 2021.

Dalam menangani pandemik COVID-19, kerajaan Malaysia mengambil pendekatan seimbang antara dua komponen utama iaitu kehidupan (live) dan kelangsungan hidup (livelihood) kerana kedua-dua komponen ini merupakan fokus penting serta menjadi sebahagian daripada rantaian global.

Semua pihak perlu membangunkan momentum dalam dunia pasca pandemik dengan visi yang jelas untuk menarik minat pelabur ke dalam sektor ini iaitu dengan membina rangkaian sistem pos antarabangsa yang mampan. Ini akan lebih memudahkan ekosistem pengiriman surat dan bungkusan abad ke-21; dengan UPU
sebagai ‘global orchestrator’ bagi merealisasikan hasrat ini.

Kesesuaian UPU dalam ekonomi digital baharu ini harus diperluaskan melalui strategi yang bersesuaian dengan dasar, peraturan dan piawaian pos antarabangsa yang akan membina semula sistem pos antarabangsa. Sekiranya peluang ini dimanfaatkan, bukan sahaja dapat mengukuhkan rangkaian UPU tetapi juga membuka peluang baharu untuk pelbagai pihak. Kita juga perlu memperkasakan penguasaan data, kecerdasan buatan dan inovasi untuk membawa sistem pos ke era digitalisasi global.

Malaysia telah memainkan peranan aktif selama tiga penggal semenjak menjadi anggota Kesatuan Pos Sedunia pada tahun 1958 iaitu masing-masing dalam CA dan POC, dan terlibat dalam Jawatankuasa Kerja Utama melibatkan kewangan, sumber manusia dan tadbir urus.

Justeru, Malaysia menegaskan kembali komitmennya untuk menyokong secara aktif matlamat dan objektif UPU serta bersedia berkhidmat dalam UPU bagi penggal akan datang sekiranya berjaya dipilih sebagai ahli dalam CA dan POC kelak.

Malaysia turut memuji usaha UPU dalam mengembangkan Strategi Pos Abidjan yang akan menentukan arah dan masa hadapan UPU dalam tempoh empat tahun akan datang.

  • Kafebuzz.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *