02/04/2026

Kafebuzz

Portal hiburan komprehensif

Maksim lepas geram depan lebih 2,000 peminat

2 min read

Muzik suatu yang bersifat sejagat.

Tanpa terlalu memikirkan bahasa pada sesebuah lagu yang disampaikan, melodi muzik itu sendiri sudah cukup membuai perasaan pendengar tanpa mengira bangsa atau negara.

Baru-baru ini, lokasi persembahan ibu kota iaitu di Mega Star Arena terletak di dalam pusat membeli belah Sungei Wang, Kuala Lumpur menjadi saksi satu lagi persembahan antarabangsa yang ditunggu-tunggu ramai peminat.

Maksim cukup bersemangat memberikan persembahan terbaik. (Foto: Lo-Fi Entertainment)

Pemain piono terkenal dari Croatia dikenali sebagai Maksim hadir dalam siri persembahan jelajahnya, Maksim World Tour Segmenti bertemu peminat tempatan di sini. Bagi peminat instrumental termasuk klasikal, peluang sebegini pastinya tidak dilepaskan.

Pada persembahan yang berlangsung jam 8.30 malam itu, Maksim memperlihatkan pesona yang bersahaja tetapi mampu mencuri tumpuan peminat dan pengunjung yang hadir dengan persembahan yang begitu bertenaga.

Ekspresi Maksim ketika beraksi di hadapan peminat di Kuala Lumpur, baru-baru ini. (Foto: Lo-Fi Entertainment)

Maksim yang dikenali sebagai pemain piano classical crossover kembali ke Kuala Lumpur dalam persembahan anjuran Lo-Fi Entertainment. Tidak hanya berseorangan di atas pentas, Maksim tampil memberikan persembahan tanpa vokal yang memukau dengan diiringi pemuzik orkestra.

Menariknya, Maksim kali ini membawakan repertoir gubahan asal dan variasi daripada album terbaharunya, Segmenti yang turut menampilkan lagu hit popular daripada ABBA dan Queen, serta karya agung klasik abadi iaitu Chopin, Prokofiev dan Tchaikovsky.

Maksim membuktikan persembahannya kali ini adalah terbaik. (Foto: Lo-Fi Entertainment)

Maksim atau nama sebenar Maksim Mrvica, berasal dari Šibenik, Croatia mendalami cara bermain piano pada usia sembilan tahun. Walaupun perang tercetus ketika zaman remaja, dia tetap bersemangat mempelajari instrumen itu. Maksim dilatih secara klasik di Akademi Muzik Zagreb, Akademi Muzik Franz Liszt di Budapest, Hungary dan Konservatori Rusia Alexander Scriabin di Paris, Perancis.

Kehebatan dan bakat Maksim bermain piano berjaya menarik perhatian ramai peminat di seluruh dunia. Maksim dikatakan mampu bermain dengan mencecah 16 nota dalam sesaat. Dia terkenal dengan karya seperti Croatian Rhapsody selain Flight of the Bumblebee dan lagu tema daripada filem pecah panggung Hollywood, Pirates of the Caribbean, Game of Thrones dan Mission Impossible.

Maksim menunjukkan emosi yang begitu mendalam ketika membuat persembahan. (Foto: Lo-Fi Entertainment)

Merujuk persembahan pada malam istimewa tersebut, Maksim membuktikan bakatnya tiada tandingan. Bagaikan melepas geram atau meluahkan emosi menerusi muzik, Maksim bermain dengan penuh penghayatan dan sepenuh perhatian.

Maksim memulakan persembahan dengan lagu New World Concerto diikuti Glorietta, The Show Must Go On, Exodus, Chopin Prelude dan Prokofiev Fantasy. Ketika Maksim mendendangkan lagu popular Coldplay berjudul Clocks selepas itu, suasana bagaikan gamat dengan sorakan peminat. Begitu juga persembahan seleksi lagu iaitu New Silk Road, Game of Thrones, Pirates of Caribbean, Dancing Queen dan medley.

Persembahan Maksim dibantu penata cahaya yang mempersonakan mata peminat. (Foto: Lo-Fi Entertainment)

Bagi peminat, persembahan malam itu meninggalkan 1,001 kenangan manis untuk dikenang apatah lagi ada yang sanggup membayar tiket VIP berharga RM888.

Maksim dan Malaysia sebenarnya bukanlah asing. Dia pernah mencuri perhatian peminat tempatan dalam persembahan sebelum ini. Biarpun ramai pemain piano berbakat, pesona Maksim tetap istimewa di hati peminat Malaysia.

Maksim menyatakan penghargaan kepada peminat yang hadir pada konsert jelajahnya kali ini. (Foto: Lo-Fi Entertainment)
  • Kafebuzz.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *