Keunikan budaya Malaysia jadi tarikan penonton luar negara
2 min read
Pengarah filem Belaban Hidup: Infeksi Zombie, Ray Lee percaya filem Malaysia mempunyai banyak kateria dan ciri untuk menembusi pasaran dunia.
“Kita memiliki budaya yang jarang diketengahkan kepada khalayak ramai di seluruh dunia dari aspek bahasa, budaya dan adat resam. Apabila kita memberitahu penonton di luar negara, bagaimana Malaysia menerbitkan filem, corak dan ekosistem masayarakat kita.
“Apabila saya sebagai pengarah Cina Malaysia boleh bercakap Hokkien, Mandarin campur Malayu dan Inggeris, penonton dan pembikin filem tertanya bagaimana nak ‘standardize’ filem Malaysia kerana semua bercakap bahasa berbeza dan Malaysia ialah negara yang unik di mana boleh memulihara bahasa ibunda,” katanya pada program FDAM Live yang membawa topik Filem Kita Ke Persada Dunia, Mampukah Kita?, disiarkan secara langsung menerusi Facebook, FDAM baru-baru ini.

Tambahnya, Malaysia mempunyai istilah muhibbah seperti filem Ola Bola dan karya Tan Sri P Ramlee yang banyak memaparkan tiga bangsa iaitu Melayu, Cina dan India.
“Ini suatu keunikan di mana luar negara, mereka tidak boleh papar budaya ini. Sebagai contoh filem Amerika kena 100 peratus membawa budaya Amerika tetapi kita boleh tonjolkan budaya Cina, India dan orang Iban tetapi tetap dipanggil filem Malaysia, ini sangat mengagumkan mereka bagaimana kita boleh mencipta sistem atau strategi untuk memaparkan kepelbagaian kita pada dunia,” katanya.
Jelasnya, filem Belaban Hidup: Infeksi Zombie dihasilkan daripada filem pendek yang menjalani penggambaran pada tahun 2016 di Kuala Kubu Bharu, di lokasi tepi sungai dengan menggunakan 1 kamera.
“Ia macam pahlawan Iban bertarung dengan hantu, selepas itu hantu jadi zombie. Apabila siap trailer dan filem pendek kedua siap, kami guna ke FINAS.
“Sebenarnya penaja korporat tidak berapa prihatin atau ambil berat mahu menaja filem seram seperti zombie. Bagaimanapun, kami berasa sangat dihargai akhirnya FINAS menaja setengah dana lalu guna buat skrip selama 8 bulan, ‘recce’ dan penggambaran dijalankan pada Mei 2019,” katanya.

Menjawab persoalan topik Filem Kita Ke Persada Dunia, Mampukah Kita?, Ray memberitahu keunikan filem itu berjaya tarik perhatian pembikin filem luar negara.
“Filem ini sebenarnya menggabungkan budaya Iban dengan kemodenan zombie. Sepanjang hidup kita tidak pernah menyatakan makhluk itu zombie tapi dalam filem, ia adalah mayat hidup.
“Dalam filem zombie, ia menggambarkan metafora konsumerisme, kapitalisme, ‘deforestation, globalization’ dan anti sosial bergantung pada penonton untuk menilai zombie.
“Kita punya ‘content’ membabitkan perkampungan rumah orang asli Iban, rumah panjang, pakaian orang Iban yang begitu asli dibawa dari kawasan pendalaman yang direka orang veteran yang tinggal di Limbang dan Kapit kerana mereka memberikan rekaan kostum baju burung sangat asli dengan poster yang kita pakai baju kemban memberi satu tanggapan pertama pada keinginan penonton untuk menonton,” katanya.

Ujarnya, filem ini berjaya tarik perhatian penonton negara Barat yang kemudian membuka ruang padanya untuk menghantar penyertaan ke festival filem.
“Mereka yang ‘approach’ mahu membawa filem ini ke festival filem selepas tengok poster di media sosial. Kami tak pernah bercakap untuk menang banyak anugerah, sehingga ini sudah menang 20 anugerah termasuk ‘official selection’ di Amerika Selatan, festival filem seram terbesar di Mexico dan filem festival Russia. ‘Content’ kita, budaya kita dan bahasa etnik kita memainkan suatu peranan sangat penting yang unik untuk tarik perhatian dunia,” katanya.
- Kafebuzz.my

